Baginda bersama Chef Datuk Ismail mempersembahkan cara penyediaan nasi ulam dan puding trifle, hidangan enak yang memeriahkan suasana Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman).
Turut serta dalam sesi kira-kira 20 minit itu ialah isteri kepada Menteri Besar Selangor, Datin Seri Masdiana Muhamad.
Selesai demonstrasi, Tengku Permaisuri Norashikin turut melawat ke reruai pameran untuk melihat produk dan inovasi yang diketengahkan dalam ekspo tersebut.
Setakat hari kedua, siri kedua SIBS 2024 mencatatkan nilai transaksi sebanyak RM1.2 bilion, mencerminkan sambutan positif daripada peserta tempatan dan antarabangsa.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han, berkata persidangan ini berperanan penting dalam memperkukuhkan kedudukan Selangor sebagai gerbang utama ke ASEAN dan merangsang kerjasama serantau.
“Bagi SIBS 2024 siri kedua ini kita mempunyai pempamer daripada negara2 lain seperi dari Indonesia, Thailand dan juga dari semua negeri di Malaysia. Ini merupakan satu platform yang baik bagi kita mempromosikan bersama produk masing2,” katanya.
Persidangan empat hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu menampilkan lebih 650 gerai pameran dari pelbagai sektor.
“Pengunjung bagi hari pertama dan kedua adalah seramai 22,000 dan kami yakin bagi hari yang ketiga dan keempat akan menerima lebih ramai lagi pengunjung untuk SIBS 2024 siri yang kedua,” tambahnya.
Selain Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman), acara utama lain termasuk Konvensyen Sains Hayat Selangor (SLC) dan Konvensyen Bandar Pintar serta Ekonomi Digital Selangor (SDEC).
SIBS 2024 adalah kesinambungan daripada siri pertama pada Julai lalu, yang berjaya menarik 8,550 pelawat dan menghasilkan potensi transaksi RM12.2 bilion.