SHAH ALAM : Selangor mencacat sejarah tersendiri apabila sumbangan negeri itu kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2022 melebihi satu perempat ekonomi negara iaitu pada kadar 25.5 peratus.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kadar terbaharu itu menyaksikan peningkatan 0.7 peratus berbanding tahun 2021.

Menurutnya, angka itu juga merupakan pertumbuhan paling tinggi dan sumbangan tertinggi Selangor kepada KDNK negara sejak Pakatan Harapan (PH) mentadbir negeri itu pada tahun 2008.

Tambah beliau, laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) juga menunjukkan pertumbuhan ekonomi Selangor melebihi pertumbuhan paras nasional dengan merekodkan 11.9 peratus, berbanding 8.7 peratus pada kadar nasional.

Selangor merupakan satu daripada empat negeri yang mencatat pertumbuhan ekonomi melebihi paras nasional selain Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan Pahang.

Sektor pembuatan Selangor kini menyumbang satu pertiga daripada keseluruhan industri pembuatan di Malaysia dengan peningkatan sebanyak 9.0 peratus pada tahun 2022.

Manakala sektor pembinaan melebihi satu pertiga daripada aktiviti seluruh negara iaitu bersamaan dengan 34.1 peratus.

Sektor perkhidmatan Selangor pula terus rancak dan mencatatkan pertumbuhan paling tinggi berbanding mana-mana negeri iaitu sebanyak 13.6 peratus pada tahun 2022.

“Kejayaan sebegini juga menampilkan dan membuktikan keyakinan komuniti pelabur dari dalam dan luar negara terhadap pentadbiran negeri Selangor.

“Selangor terus beriltizam untuk menjadi negeri paling maju di Malaysia secara telus dan adil sambil memudah cara urusan perniagaan agar orang Selangor terus mempunyai peluang pekerjaan bergaji tinggi serta bermaruah.

“Pencapaian prestasi pertumbuhan ini dapat menjamin kemakmuran Selangor sebagai gedung ekonomi Malaysia dan menjadi paksi kepada kestabilan pentadbiran serta kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, pengiktirafan dan kejayaan hebat sebegitu terhasil daripada kebersamaan, ketekunan dan perancangan pasukan dalam Kerajaan Negeri Selangor.