KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan pelabur terus memilih mata wang selamat dalam keadaan prospek ekonomi global yang berhati-hati, kata ahli ekonomi.

Pada 9 pagi, ringgit merosot kepada 4.7145/7190 berbanding dolar AS daripada 4.7080/7110 semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pelabur masih mengekalkan pegangan mereka dalam dolar AS dengan Indeks Dolar AS (DXY) kekal melebihi 105 mata berikutan bank pusat utama lain telah mula menurunkan kadar dasar mereka manakala Rizab Persekutuan AS dilihat tidak melakukan perkara yang sama.

"Fed masih merasakan keperluan untuk mengekalkan kadar penanda aras yang tinggi bagi memastikan kadar inflasi ke arah sasaran 2.0 peratus. Oleh itu, dinamik pada hari ini dijangka stabil berbanding dolar AS," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, katanya ringgit mencatatkan prestasi yang menggalakkan berbanding mata wang serantau lain baru-baru ini.

Data eksport terkini sebanyak 7.3 peratus untuk pertumbuhan pada Mei, adalah jauh lebih tinggi daripada anggaran konsensus, menunjukkan Malaysia dijangka mendapat manfaat daripada permintaan luar yang pulih.

"Ini turut meningkatkan harapan bahawa sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.0 hingga 5.0 peratus pada 2024 dapat dicapai," katanya.

Ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9634/9664 daripada 2.9711/9732 pada Khamis, naik berbanding pound kepada 5.9667/9724 daripada 5.9815/9853 dan mengukuh berbanding euro kepada 5.0478/0526 daripada 5.0498/0530 sebelum ini.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ia merosot berbanding baht Thailand kepada 12.8300/8461 daripada 12.8008/8138 semalam dan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 286.9/287.3 daripada 286.5/286.8.

Mata wang tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.4804/4839 daripada 3.4807/4832 pada Khamis dan hampir tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.01/8.03.

-- BERNAMA