KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS hari ini berikutan minat belian yang berterusan, dipacu kestabilan harga minyak, kata penganalisis.

Pada 6 petang, unit tempatan meningkat kepada 4.1840/1870 berbanding dolar AS daripada 4.1880/1915 sewaktu ditutup pada Jumaat.

Penganalisis berkata harga minyak yang kukuh akan memanfaatkan kerajaan Malaysia, membolehkan pengembangan dasar fiskal dilaksanakan dengan lancar.

Setakat ini, penanda aras minyak mentah Brent menokok 0.84 peratus kepada AS$90.79 setong dan West Texas Intermediate menambah 0.60 peratus kepada AS$87.34 setong.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0899/0925 daripada 3.0860/0890 sewaktu ditutup pada Jumaat dan turun berbanding yen Jepun kepada 3.6247/6276 daripada 3.6222/6252.

Mata wang tempatan turut merosot berbanding pound Britain kepada 5.6262/6303 daripada 5.6031/6078 pada Jumaat lepas dan jatuh berbanding euro kepada 4.6777/6811 daripada 4.6621/6660 sebelum ini.

Pasaran akan ditutup pada 1 dan 2 Feb bersempena cuti umum Tahun Baharu Cina dan akan beroperasi semula pada Khamis, 3 Feb.

-- BERNAMA