Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini selepas persetujuan membabitkan kalangan negara pengeluar minyak gagal menyakinkan pelabur selain kebimbangan berterusan mengenai pandemik COVID-19 serta menjelang pengumuman data ekonomi penting AS dan China.

Pada 6 petang, ringgit disebut pada paras 4.3200/3280 berbanding dolar AS daripada 4.3050/3150 pada Jumaat lepas.

Ketua Strategis Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata dagangan ringgit lemah menjelang pengumuman data ekonomi penting yang boleh membuktikan keadaan ekonomi terus meruncing.

Menurutnya, pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama China pada Jumaat akan diberi tumpuan utama selain makluman data AS membabitkan perumahan, jualan runcit dan pengeluaran perindustrian bagi Mac.

"Bagi kepentingan tempatan, pengumuman KDNK suku pertama China pada Jumaat ini merupakan satu perkara utama. Maklumat jualan runcit AS juga tidak kurang pentingnya kerana ia adalah data pertama selain kadar pengangguran AS yang akan menunjukkan pasaran mengenai sejauh mana seriusnya penyusutan ekonomi negara itu.

"Di peringkat tempatan, kita memerlukan lengkungan (data) COVID-19 untuk mendatar bagi membolehkan aliran peningkatan ringgit," katanya kepada Bernama.

Selain itu, Kenanga Research pula menyifatkan keputusan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) untuk mengurangkan pengeluaran kira-kira 10 juta setong sehari pada Mei dan Jun dilihat sebagai tidak memadai untuk menyokong harga minyak mentah tersebut.

Bagaimana pun, persetujuan itu berkemungkinan dapat memberi sedikit sokongan terhadap harga minyak dan mengelaknya terus susut dan seterusnya menyokong kestabilan ringgit.

"Pandangan jangka pendek terhadap ringgit lebih cenderung untuk susut dengan rintangan pengukuhannya pada paras 4.345 manakala rintangan sokongan pada 4.292 berbanding dolar AS.

"Secara alternatif, ringgit berkemungkinan meningkat sekiranya ringgit-dolar AS dapat melepasi paras sokongan 4.275, dengan syarat harga minyak mentah juga berupaya melepasi dan dikekalkan lebih US$40 setong," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Sementara itu, ringgit didagangkan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia susut berbanding dolar Singapura pada 3.0513/0582 daripada 3.0461/0553 dan rendah berbanding yen Jepun pada 4.0011/0096 daripada 3.9696/9799.

Ringgit juga turun berbanding pound Britain pada 5.4026/4139 daripada 5.3709/3851 dan susut berbanding euro pada 4.7252/7344 daripada 4.7114/7236 yang dicatatkan pada Jumaat lepas.

-- BERNAMA