KUALA LUMPUR: Ranhill Water Technologies Sdn Bhd (RWT), telah menerima kontrak pemasangan serta ujian dan komisen menaik taraf Loji Rawatan Efluen Perindustrian (IETS) daripada MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn Bhd yang terletak di Tanjung Langsat, Johor bernilai RM6.10 juta, kata Presiden dan Ketua Eksekutif Ranhill Utilities Berhad Tan Sri Hamdan Mohamad.

Hamdan memaklumkan Surat Anugerah (LOA) daripada MSM diterima pada 8 Jun lalu dan projek tersebut dijadual siap dalam tempoh 12 bulan bermula 1 Jun 2022, termasuk kebenaran merancang dan penyerahan dan kelulusan pelan bangunan daripada pihak berkuasa yang berkaitan.

Katanya, RWT telah dianugerahkan kontrak ini melalui pelaksanaan tender kompetitif yang dijalankan oleh MSM.

Menurutnya, projek ini berfungsi sebagai bukti keupayaan dan rekod prestasi syarikat itu dalam industri air sisa industri.

“Kontrak ini adalah sebahagian daripada cara RWT bergerak secara progresif untuk menjadi peneraju serantau dalam rawatan air dan air sisa yang mengintegrasikan dan mengoptimumkan penyelesaian teknologi inovatif.

“Kami akan terus memanfaatkan kepakaran teras kami untuk mendapatkan projek baharu dan kami amat percaya bahawa projek ini meningkatkan lagi kehadiran RWT dan juga mengukuhkan kelayakan Ranhill sebagai pakar rawatan air dan air sisa industri holistik yang merangkumi rawatan efluen industri,” katanya dalam satu kenyataan.

Projek itu akan melibatkan RWT yang menyediakan kerja-kerja sivil dan struktur (C&S), mekanikal, elektrikal dan instrumentasi (E&I), serta ujian dan komisen, yang termasuk jaminan 18 bulan dari tarikh pengambilalihan kilang itu.

Kerja-kerja menaik taraf utama loji itu akan melibatkan tangki penampan, sistem peresap cakera membran, sistem penyahairan, sistem cuci belakang untuk penapis dan sistem saliran.

Ranhill menyediakan bekalan air di Johor, dan mengendalikan air, air sisa, dan loji rawatan air tebus guna di dalam dan di luar negara.

Ranhill juga terlibat terutamanya dalam mengendalikan dan menyelenggara dua loji kuasa CCGT yang terletak di Taman Perindustrian Kota Kinabalu, membekalkan tenaga yang bersamaan dengan kira-kira 40% daripada jumlah kapasiti terpasang Penjana Tenaga Bebas (IPP) di Sabah.