KUALA LUMPUR :Selepas selesai membahaskan Belanjawan 2021 di peringkat dasar dan jawatankuasa, Pakatan Harapan (PH) konsisten dengan pendirian mereka untuk menolak Belanjawan 2021.

Majlis Setiausaha PH dalam satu kenyataan menegaskan, mereka akan membuat undian belah bahagi pada bacaan Belanjawan kali ketiga esok.

Menurutnya, pengumuman dan penggulungan Belanjawan 2021 baru-baru ini dilihat tidak memenuhi apa dipohon dan diharapkan Ahli Parlimen malah harapan rakyat juga.

“Oleh yang demikian, Pakatan Harapan menggesa agar semua ahli Parlimen, sama ada di sebelah pembangkang mahupun dari kalangan penyokong kerajaan, yang memahami bahawasanya Belanjawan ini tidak menepati objektif dan matlamat untuk memerangi COVID-19, membantu rakyat, dan menghidupkan semula ekonomi, agar memilih untuk menolaknya pada bacaan kali ketiga esok,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu merupakan kenyataan bersama tiga setiausaha dalam PH iaitu Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution; Setiausaha Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Hatta Ramli dan Setiausaha DAP, Anthony Loke.

BACA: Tun M, Ku Li harap Ahli-ahli Dewan Rakyat tolak Belanjawan 2021

BACA: Belanjawan 2021 lulus di peringkat dasar di Dewan Rakyat


Menurut kenyataan itu lagi, banyak isu termasuk melibatkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium pinjaman bank tidak memenuhi harapan rakyat.

“Ia termasuklah isu bantuan kepada petugas barisan hadapan (frontliners) dan yang terkesan akibat pandemik COVID-19, isu pendidikan anak-anak kita, pendapatan yang berkurangan, pekerjaan yang hilang, kos sara hidup yang makin meningkat dan banyak lagi,” ujarnya.

Pada 26 November lepas, sidang Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 pada peringkat dasar selepas mendapat sokongan daripada ahli Parlimen.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan keputusan itu pada jam 3.28 petang.


Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz membentangkan penggulungan RUU Perbekalan 2021 untuk bacaan kali kedua kira-kira sejam sebelum mendapat sokongan semua ahli Parlimen kerajaan.

Kelulusan RUU berkenaan akan membolehkan kerajaan menggunakan dana di bawah Kumpulan Wang Disatukan untuk tujuan perbelanjaan negara bagi tahun depan.

Belanjawan berkenaan juga merupakan yang pertama dibentang di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Belanjawan 2021 dibentang Tengku Zafrul pada 6 November lepas dan seramai 82 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan yang berlangsung sejak 9 November lalu.