NIBONG TEBAL: Pakatan Harapan (PH) yakin ahli UMNO akan mengundi calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap Joohari Ariffin pada 6 Julai ini.

Pengarah Pilihan Raya PH bagi PRK itu Datuk Mohamad Abdul Hamid berkata berdasarkan culaan dan respons positif yang diterima ketika berkempen, pihaknya percaya undi ahli UMNO-Barisan Nasional (BN) akan kembali berpihak kepada Kerajaan Perpaduan.

"Kita telah melakukan gerak kerja bersama jentera UMNO-BN di lapan pusat daerah mengundi (PDM) dan respons diterima amat positif sekali gus memberikan kelebihan bahawa dari segi pengundinya, mereka (UMNO-BN) kembali kepada Perpaduan (PH).

"Berdasarkan perkembangan itu, insya-Allah kita nampak kita akan beroleh kejayaan pada 6 Julai ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Iltizam Joohari di Taman Tasek Indah, Simpang Ampat di sini malam tadi.

Dengan tempoh kempen berbaki seminggu lagi, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang berkata jentera Perpaduan akan terus mempergiatkan gerak kerja kempen dalam misi memenangkan calon PH seterusnya merampas kembali kerusi Sungai Bakap daripada Perikatan Nasional (PN).

Baru-baru ini, calon PN Abidin Ismail mendakwa pengundi dalam kalangan ahli UMNO akan mengekalkan gelombang peralihan undi kepada parti itu pada PRK DUN Sungai Bakap.

Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal itu mendakwa pergerakan gelombang itu dapat dilihat selain ada yang memberi keyakinan bahawa mereka masih menyokong PN.

Joohari dan Abidin bersaing dalam pertembungan satu lawan satu pada PRK DUN Sungai Bakap, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

-- BERNAMA