KUALA LUMPUR: Peruntukan RM6.5 bilion dan RM5.6 bilion kepada Sabah serta Sarawak dalam Belanjawan 2023 membolehkan projek pembangunan sedia ada di kedua-dua negeri itu diteruskan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, peruntukan yang diberikan untuk sudah pasti akan melancarkan projek pembangunan sekali gus pengumuman kepada pertambahan projek baharu di luar bandar.

"Untuk Sabah dan Sarawak nampaknya Belanjawan 2023 yang dibentangkan dilihat membanggakan kerana kewangan (peruntukan diberikan) untuk menguruskan projek-projek sedia ada dan sedang dilaksanakan.

"Peruntukan pembangunan ini akan membolehkan setiap kementerian melaksanakan projek itu dengan lancar termasuk pertambahan projek-projek pembangunan baharu di luar bandar," katanya kepada pemberita di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit menyifatkan peruntukan RM2.5 bilion bagi kerja-kerja pembaikan klinik dan sekolah daif di Sabah dan Sarawak juga bukti komitmen kerajaan kepada kedua-dua negeri tersebut.

"Peruntukan agak besar untuk kerja-kerja pembaikan klinik dan sekolah-sekolah daif di Sabah dan Sarawak. Juga diumumkan penambahan projek pembangunan baharu iaitu membangunkan bandar-bandar di sempadan," katanya.