Peruntukan belanjawan untuk Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam Bajet 2016 adalah bersesuaian dengan bilangan jabatan, agensi dan menterinya yang banyak berbanding kementerian lain, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar.

"Terdapat lebih kurang 70 jabatan dan agensi di bawah JPM. Bilangan Menteri yang ada untuk menjaga portfolio masing-masing juga perlu diambil kira.

"Kementerian lain mungkin ada 10 jabatan sahaja. Maka, secara rasionalnya JPM memerlukan peruntukan yang lebih banyak," katanya kepada Bernama selepas satu rancangan bual bicara bersama Bernama TV baru-baru ini.

Antara jabatan dan agensi di bawah JPM ialah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Majlis Keselamatan Negara, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Agensi Inovasi Malaysia dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera.

Sejumlah RM20.3 bilion atau 7.6 peratus daripada jumlah perbelanjaan operasi di bawah Bajet 2016 diperuntukkan untuk JPM, jumlah peruntukan tertinggi yang pernah di rekodkan.

Untuk tahun ini, JPM menerima peruntukan sebanyak RM19 bilion atau 6.96 peratus daripada jumlah perbelanjaan operasi.

Bagi tahun sebelumnya, 6.23 peratus diperuntukkan semasa belanjawan 2014, 5.24 peratus (2013), 5.38 peratus (2012), 6.74 peratus (2011) dan 6.37 peratus (2010).

Berhubung pengurangan peruntukan bagi Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengajian Tinggi, Irwan berkata kerajaan tidak mengabaikan kepentingan kementerian terbabit dan jumlah yang ditetapkan adalah bertepatan.

Beliau berkata, sebahagian institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, dan Universiti Sains Malaysia, mempunyai banyak pelaburan dan projek yang mampu menjana pendapatan.

"Ini adalah masa untuk mereka bergerak ke arah pembiayaan sendiri secara beransur-ansur.

"Sekarang kita tentukan lebih kurang 30 peratus (menggunakan hasil sendiri). Pada masa hadapan, malahan satu masa nanti, kira-kira 50 peratus daripada keperluan mereka akan dijana daripada dana sendiri," katanya.

Peruntukan bagi Kementerian Pengajian Tinggi dalam Bajet 2016 susut sebanyak RM2.4 bilion kepada RM13.38 bilion berbanding Bajet 2015.

Bagi Kementerian Kewangan, penurunan peruntukan sebanyak 17.8 peratus kepada RM32.25 bilion adalah disebabkan kerajaan tidak lagi perlu menanggung subsidi minyak sebanyak RM20 bilion.