KUALA LUMPUR: Syarikat semikonduktor yang berpangkalan di Taiwan optimistik mengenai prospek perniagaan dalam industri semikonduktor di Malaysia berdasarkan asas kukuh dan ekosistem semikonduktor berkembang maju yang menawarkan potensi pertumbuhan bagi tempoh jangka panjang.

Pengurus Besar FusionSIP Technology Pte Ltd, Eigen Fu berkata syarikat itu merancang untuk membuka pusat perkhidmatan reka bentuk pertamanya di Malaysia tahun ini.

Beliau berkata syarikat itu sedang meninjau lokasi berpotensi untuk menempatkan pusat berkenaan di Malaysia.

"Kami mahu menubuhkan pusat reka bentuk terbesar di Asia Tenggara, mungkin berdekatan Kuala Lumpur kerana mempunyai kelebihan daripada segi logistiknya," katanya ketika ditemui Bernama di luar acara SEMICON Asia Tenggara 2024.

FusionSIP Technology adalah syarikat penyedia penyelesaian reka bentuk litar bersepadu (IC) semikonduktor.

Fu berkata FusionSIP merancang untuk bekerjasama dengan universiti tempatan, pada masa sama menyediakan pelajar peluang pekerjaan dan mengupah pekerja tempatan untuk mengukuhkan kehadirannya di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini berkata Malaysia menawarkan dirinya sebagai "jambatan" untuk menghubungkan negara-negara yang terbuka untuk menjalinkan kerjasama teknologi.

Malaysia sudah pun menjadi tumpuan bakat teknologi tempatan dan antarabangsa, menjadikannya mudah bagi syarikat yang berakar umbi di sini untuk berdaya saing di peringkat serantau dan global, kata beliau.

Sementara itu, satu lagi syarikat semikonduktor dari Taiwan, Delta Electronics Inc, berharap produk yang baru dilancarkan, penyelesaian DIASECS akan digunakan secara meluas dalam kemudahan semikonduktor di Malaysia.

Pengurus Negara Delta Electronics Industrial Automation, Quah Soon Kooi berkata DIASECS ialah penyelesaian komprehensif Delta untuk komunikasi dan kawalan peralatan semikonduktor, melengkapkan produk penyelesaian sedia ada syarikat.

Beliau berkata penyelesaian itu boleh digunakan dalam antara muka peralatan semikonduktor dan protokol komunikasi seperti standard komunikasi peralatan semikonduktor.

Delta Electronics menerusi anak syarikatnya, Eltek Power (Malaysia) Sdn Bhd telah beroperasi di Malaysia sejak tahun 2016.

Pengurus syarikat pembekal komputer, Bossmen Inc, Lewis Liu turut yakin terhadap potensi besar pertumbuhan perniagaan di Malaysia.

Beliau berkata beberapa syarikat terkemuka antarabangsa telah menjalan operasi di Malaysia, antaranya Intel Corporation dan Micron Technology dari Amerika Syarikat (AS), Bosch dari Jerman serta ASE Group dari Taiwan.

"Pada masa yang sama, permintaan untuk penyelesaian storan termaju dijangka meningkat dengan ketara," katanya.

Liu berkata teknologi inovatif Bossmen, 'Nanoscale Photomask Storage Cabinet' telah dipamerkan pada acara SEMICON Asia Tenggara 2024.

"Ia menyediakan setiap penyimpanan peralatan photomask pod-on-die (POD) dengan menyediakan udara bersih, kelembapan yang sesuai, suhu dan aliran nitrogen bersama-sama dengan akses pengenalan frekuensi radio (RFID) untuk memenuhi bilik bersih Kelas 1, piawaian standard untuk penyimpanan nanoscale photomask," katanya.

Beliau berkata teknologi itu dilengkapi dengan lima ciri penting, penapisan, pemantauan dan kawalan, pembersihan aktif, penggera dan keselamatan yang menjadikannya penyelesaian storan boleh dipercayai, menawarkan kecekapan kos dan penjimatan sehingga 80 peratus pada penggunaan nitrogen.

Singapura, AS, China, Hong Kong dan Taiwan adalah antara pasaran eksport utama.

-- BERNAMA