Beberapa penerbangan AirAsia dan AirAsia X berlepas dari Kuala Lumpur antara 26 dan 29 Sept akan dijadualkan semula berikutan penutupan ruang udara bagi kaji selidik udara oleh pihak berkuasa.

Semua penerbangan berlepas dari Kuala Lumpur melalui klia2 mulai pukul 11 pagi hingga 11.59 pagi dan mulai 2 petang hingga 2.59 petang (GMT+8) semasa tempoh berkenaan akan dijadualkan semula untuk penerbangan lebih awal atau kemudian bagi penutupan ruang udara, kata syarikat penerbangan kos rendah itu dalam satu kenyataan.

AirAsia dan AirAsia X telah memaklumkan semua penumpang yang terjejas melalui e-mel dan SMS, dan menggalakkan mereka yang menggunakan perkhidmatan antara tarikh dan masa tersebut agar memeriksa e-mel dan telefon bimbit mereka untuk pemberitahuan penjadualan semula itu.

Penumpang juga boleh melayari www.airasia.com dan memeriksa waktu penerbangan mereka sebelum ke lapangan terbang. -Bernama