New World Development Co Ltd, antara pemaju hartanah terbesar di Hong Kong, telah berganding bahu dengan rakan niaga tempatan untuk melancarkan projek hartanah pertamanya di Malaysia.

Syarikat, yang menguasai 15 peratus penguasaan pasaran dalam pasaran hartanah paling kompetitif di Hong Kong, memilih Luen Yum Development (M) Sdn Bhd sebagai rakannya untuk melancarkan projek "New World Garden" di Plentong di sini.

Projek itu, yang menawarkan 96 unit banglo dan vila mewah separuh berkembar di kawasan seluas 4.86 hektar, mempunyai nilai pembangunan kasar RM240 juta.

Dijadualkan siap pada bulan April 2014, ia akan dikendalikan oleh Taipan Eagle Sdn Bhd, syarikat usaha sama yang diwujudkan oleh New World Development dan Luen Yum Development.

Michael Tam, pengarah Luen Yum Development, berkata 92 unit vila separuh berkembar dan empat banglo eksklusif, masing-masing berharga dari RM2.4 juta hingga RM4 juta.

"Kami menyasarkan gabungan pembeli tempatan dan asing, warga Singapura dan warga negara yang lain," kata beliau kepada pemberita selepas pelancaran New World Garden di sini hari ini.

Pembinaan rumah-rumah mewah ini, kata beliau, telahpun lebih 50 peratus siap.

Menurut Tam, selain daripada kerancakan pasaran hartanah Johor Baharu, Taipan Eagle, syarikat tempatan kepada New World Development, turut meninjau untuk mengembangkan tapaknya di pasaran lain di Malaysia.

Selain daripada Hong Kong, New World Development, yang dimiliki oleh Chow Tai Fook Enterprise Ltd dan disenaraikan di bursa tempatan, turut memiliki projek-projek hartanah di bandar raya utama di China seperti Beijing, Shanghai, Guangzhou dan Wuhan.

Sementara itu, pengarah eksekutif New World Development, Chen Guanzhan berkata syarikat itu, dengan pengalaman meluas dalam pembangunan hartanah di Hong Kong dan China, turut meninjau peluang di bahagian-bahagian lain Malaysia.