Ringkasan AI
- Pelaburan syarikat antarabangsa menjadi cabaran dalam meningkatkan kemahiran tenaga kerja di Malaysia.
- Perdana Menteri menekankan perlunya peningkatan kemahiran dan kemahiran semula, tidak hanya untuk pelajar tetapi juga tenaga pengajar.
- TVET tidak hanya untuk pelajar lemah akademik, ia juga melatih aspek nilai sejarah, disiplin, moral, dan cintakan negara serta perlu disesuaikan dengan minat dan kebolehan individu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua pihak termasuk kerajaan dan agensi berkaitan perlu bersedia untuk peningkatan kemahiran dan kemahiran semula, bukan sahaja dalam kalangan pelajar tetapi juga tenaga pengajar.
"Kita ada ramai jurutera, syarikat Geely-Proton pernah beritahu saya, anda mempunyai jurutera yang cemerlang, tetapi kita perlu meningkatkan kemahiran latihan mereka untuk mencapai tahap pengkhususan yang diperlukan dalam industri automotif moden.
"Mereka setuju ambil 300 orang untuk dilatih di china, (jadi) fakulti kejuruteraan dalam bidang automotif harus lihat apa yang diperlukan, sebab itu saya kata dalam dunia pascanormal, kita lihat tahap kecepatan perubahan itu tidak pernah dilalui dan diduga sebelumnya.
"Kalau ikut cara lama, kita akan ketinggalan," katanya dalam ucapan perasmian Hari TVET Negara (HTN) 2024 di Institut Latihan Perindustrian Kuala Langat, pada Sabtu.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
Tambah Anwar, tidak timbul soal TVET hanya untuk pelajar yang lemah dalam akademik kerana telah terbukti TVET tidak mengabaikan aspek nilai sejarah dan disiplin, selain turut melatih individu dalam aspek moral, jati diri dan cintakan negara.
"Anak-anak ada minat, sebahagiannya minat falsafah sejarah, sebahagian matematik dan sains, sebahagian seni budaya, jadi kita harus salur mengikut bidang itu. Anak-anak umpamanya memilih untuk ke bidang pertukangan mekanik, automatif, penerbangan, AI, itu harus disalurkan dari awal.
"Ini tidak bermakna meninggalkan pendidikan asas STEM, penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, pendedahan kepada Bahasa Inggeris, bidang ilmu yang diperlukan dalam dunia mencabar tetapi minat dalam teknikal, elektrikal, automotif, aeroangkasa dan digital itu kadang-kadang timbul sendiri.
"Ada satu kajian di Port Dickson yang mengejutkan saya, dilakukan di sekolah, anak-anak kampung tak begitu cemerlang akademik tapi cemerlang dalam coding, kalahkan anak-anak dalam bidang akademik. Jadi rugilah kita kalau tak salurkan anak anak ini ke bidang yang dianggap bidang sukar dalam amalan komputeran dan digital," katanya lagi.