KUALA LUMPUR: Pasaran modal boleh menjadi pemangkin utama peralihan dalam peralihan dan penyesuaian iklim dengan menyalurkan pelaburan ke dalam sektor utama seperti tenaga boleh baharu (TBB), teknologi hijau dan pertanian mampan, kata Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Datuk Mohammad Faiz Azmi.

Beliau berkata Malaysia mempunyai salah satu pasaran bon terbesar di rantau ini yang mampu memenuhi keperluan ini dan pada masa sama turut menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam usaha kemampanan mereka.

Ia memastikan PKS boleh mengakses pembiayaan dan sumber yang diperlukan untuk berkembang maju dalam ekonomi rendah karbon.

"Taksonomi Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) dikeluarkan SC diperkenalkan pada 2022 merupakan salah satu taksonomi pertama di seluruh dunia merangkumi komponen sosial serta meningkatkan komitmen SC ke arah pendekatan yang lebih holistik terhadap pelaburan yang mampan dan bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata semasa menyampaikan ucaptama di Sidang Kemuncak Tadbir Urus Iklim Kebangsaan 2024.

Mohammad Faiz berkata pasaran modal memainkan peranan penting dalam memupuk daya tahan ekonomi dan menyediakan modal untuk inisiatif penyesuaian iklim.

"Pada kebiasaannya, ini tanggungjawab kerajaan tetapi pasaran swasta memainkan peranan menggunakan gabungan kewangan gabungan dan peralatan lain untuk menjadikan sesetengah projek ini boleh meraih keuntungan," katanya.

Memetik titah Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada meja bulat SC - Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS) di Oxford, United Kingdom baru-baru ini, Mohammad Faiz berkata perniagaan mesti menjadi sebahagian daripada penyelesaian kepada cabaran global.

"Mereka mesti bertanggungjawab terhadap kesan yang lebih luas terhadap dunia di sekeliling mereka terhadap pemegang kepentingan mereka serta pemegang saham, tidak lagi dapat mengetepikan ini sebagai di luar fungsi utama mengaut keuntungan mereka.

"Syarikat perlombongan harus melakukan pembersihan apabila meninggalkan tapak kerja mereka. Syarikat pertanian mesti memperuntukkan tanah untuk penampan pelindung di sekitar laluan air. Bahan kimia yang mereka gunakan kini dipantau dengan teliti dan pekerja yang menggunakan ini mesti mempunyai peralatan pelindung," katanya.

Sementara itu, Mohammad Faiz berkata sejak Rangka Kerja Sukuk SRI diperkenalkan, sukuk SRI bernilai RM27.61 bilion telah diterbitkan di Malaysia, membiayai pelbagai projek daripada TBB kepada perumahan mampu milik.

SC baru-baru ini memperkenalkan Panduan bagi Pasaran Modal Islam Malaysia berasaskan prinsip Maqasid al-Shariah manakala Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC), cabang pembinaan kapasiti SC, menerajui usaha untuk mendidik dan memperkasakan peserta pasaran mengenai amalan SRI.

Tema Sidang Kemuncak Tadbir Urus Iklim Kebangsaan 2024 adalah 'Capital Markets Supporting a Smooth and Just Transition' (Pasaran Modal Menyokong Peralihan yang Lancar dan Adil).

-- BERNAMA