KUALA LUMPUR: MISC Bhd kembali mencatat keuntungan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21) dengan untung bersih berjumlah RM1.83 bilion berbanding kerugian bersih RM43 juta yang dialaminya bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Kumpulan itu kembali mencatat keuntungan selepas prestasinya pada 2020 dibebani dengan peruntukan tuntutan litigasi, hapus kira dan kerugian berikutan keputusan prosiding timbang tara oleh Gumusut-Kakap Semi-Floating Production System (L) Ltd terhadap Sabah Shell Petroleum Company Ltd.

Hasil dalam tempoh itu juga meningkat 13.5% kepada RM10.67 bilion daripada RM9.4 bilion tahun sebelumnya disumbangkan terutamanya menerusi pengiktirafan hasil daripada penukaran apungan, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) dalam segmen perniagaan luar pesisir.

Selain itu, pendapatan lebih baik ini juga didorong oleh penghantaran 5 kapal pengangkut etana berskala besar (VLEC) sejak suku keempat 2020 dalam segmen aset dan penyelesaian gas.

Bagaimanapun, kenaikan ini sebahagiannya dinafikan oleh hasil yang lebih rendah dalam segmen petroleum dan penghantaran produk berikutan kadar pengangkutan dan pendapatan lebih rendah daripada pelupusan dan penghantaran kapal sejak tahun lalu.

Di samping itu, segmen kejuruteraan berat dan marin turut merekodkan hasil yang lebih rendah disebabkan aktiviti dry docking yang berkurangan pada tahun semasa susulan pelaksanaan perintah sekatan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Sementara itu, bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021, kumpulan merekodkan hasil sebanyak RM3.09 bilion, meningkat 16.8% daripada suku sama tahun sebelumnya, RM2.64 bilion.

Ini disumbangkan hasil yang lebih tinggi menerusi segmen perniagaan luar pesisir kerana hasil yang diiktiraf lebih tinggi daripada penukaran FPSO daripada kemajuan projek pada suku semasa.

Untung bersih bagi tempoh itu bagaimanapun susut kepada RM461.7 juta daripada RM556 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Lembaga Pengarah MISC mengisytiharkan dividen interim sebanyak 12 sen sesaham dengan tarikh kelayakan pada 4 Mac 2022 dan dibayar pada 16 Mac 2022.

Dalam kenyataan hari ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC, Datuk Yee Yang Chien berkata, prestasi kewangan 2021 membuktikan daya tahan kumpulan di samping mengekalkan peningkatan momentum sehingga mengakhiri tahun dengan menyakinkan.

Beliau menjangkakan perubahan makro yang berbeza akan berterusan pada 2022 disebabkan oleh pelbagai faktor yang mempengaruhi pemulihan ekonomi global jangka pendek.

"Di sebalik cabaran ini, kami akan kekal teguh dalam keutamaan kami dan berfokus dalam memastikan kejayaan pelaksanaan projek, menyampaikannya ke dalam operasi dan menukarnya kepada aset menjana tunai pada tahun-tahun akan datang.

"Memandang ke hadapan, kami akan terus melabur dengan strategik dengan mengutamakan peluang pertumbuhan dan memaksimumkan penciptaan nilai kepada semua pihak berkepentingan kami," katanya. - DagangNews.com