KUALA LUMPUR: MIDF Research mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 6.6 peratus walaupun terdapat kebimbangan mengenai perkembangan di peringkat global.

Firma penyelidikan itu melalui satu nota penyelidikan pada Isnin menjelaskan indikator terkini menunjukkan pertumbuhan positif yang berterusan dengan pengembangan dalam permintaan domestik serta prestasi perdagangan luar yang kukuh.

"Selain pembukaan semula ekonomi dan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) COVID-19, kami menjangkakan pemulihan dalam pasaran buruh tempatan dan prospek pekerjaan yang lebih baik bagi menyokong aktiviti perbelanjaan domestik.

"Sementara itu, perniagaan mula menambah pengeluaran apabila permintaan meningkat berikutan pembukaan semula ekonomi," katanya, sambil menambah pertumbuhan yang lebih mampan dan kukuh dalam aktiviti ekonomi domestik akan menyokong pertumbuhan KDNK yang mantap tahun ini.

Indeks pelopor (LI) Malaysia masih menunjukkan pertumbuhan yang berterusan apabila ia menokok empat peratus dari tahun ke tahun kepada 111.3 mata pada Ogos 2022, mencerminkan momentum pertumbuhan ekonomi akan terus bergerak ke hadapan.

Sementara itu, keadaan ekonomi semasa menunjukkan pertumbuhan yang lebih normal apabila kenaikan indeks berkebetulan menyederhana lagi kepada +9.8 peratus dari tahun ke tahun disebabkan oleh lonjakan dalam pengeluaran perindustrian dan perdagangan runcit serta penggunaan kapasiti yang lebih tinggi.

"Memandangkan pertumbuhan berterusan dalam LI, kami menjangkakan momentum pertumbuhan kekal positif pada bulan-bulan akan datang dengan kadar pertumbuhan dijangka normal apabila kesan asas rendah, akibat sekatan pergerakan di seluruh negara tahun lepas, berkurangan," kata firma itu.

Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) mencatatkan pertumbuhan yang lebih baik daripada jangkaan. Ia mara sebanyak +13.6 peratus dari tahun ke tahun berikutan pertumbuhan yang agak kukuh dalam pengeluaran pembuatan, sejajar dengan prestasi eksport yang cemerlang.

"Peningkatan pertumbuhan IPI menandakan aktiviti pengeluaran yang lebih mantap pada Julai-Ogos 2022, mencerminkan keteguhan pertumbuhan KDNK menjelang suku ketiga tahun kalendar 2022.

"Ini menunjukkan bahawa aktiviti perniagaan termasuk pengeluaran, terus berkembang berikutan permintaan yang semakin meningkat, baik domestik dan luaran," katanya.

Ketika inflasi Indeks Harga Pengguna teras memuncak ke paras tertinggi baharu pada 4.0 peratus dari tahun ke tahun menjelang September 2022, MIDF Research percaya Bank Negara Malaysia akan terus menaikkan kadar dasar semalaman sebanyak 25 mata asas lagi pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari November 2022.

Bagaimanapun, MIDF berkata terdapat kelembapan dalam aktiviti sektor pembuatan disebabkan tempahan baharu termasuk permintaan eksport masih lemah di tengah-tengah kebimbangan terhadap permintaan global yang perlahan.

Ini menyebabkan Indeks Pengurus Pembelian pembuatan jatuh di bawah 50 pada September 2022 selepas lima bulan berturut-turut merekodkan pengembangan.

"Oleh itu, walaupun momentum pertumbuhan secara amnya kekal positif, kami kekal berhati-hati terhadap prospek global yang lebih lembap.

"Ia mungkin dipengaruhi oleh pengetatan dasar monetari bank pusat, kesan buruk inflasi yang semakin bertambah ke atas permintaan akhir termasuk faktor-faktor seperti geopolitik dan isu buruh yang boleh menjejaskan kestabilan bekalan," kata MIDF.

-- BERNAMA