Malaysian Electronic Payment System Sdn Bhd (MEPS) memperuntukkan RM60 juta untuk memasang 1,580 mesin juru wang automatik (ATM) bukan bank di seluruh negara dalam tempoh lima tahun, kata Pengarah Urusannya Zulkarnain Kassim.

ATM yang disediakan itu menjanjikan keselamatan serta memudahkan pelanggan.

Sejak penubuhannya pada 1996, Zulkarnain berkata MEPS telah menjadi penggiat penting dalam sektor perkhidmatan kewangan Malaysia.

"Ia sudah berevolusi daripada peranannya sebagai penyedia infrastruktur ATM kepada penyedia dalam perkhidmatan pembayaran, katanya.

Setakat ini MEPS menyediakan 134 ATM dengan sasaran memasang 200 menjelang akhir tahun.

Ia juga merancang menyediakan 360 ATM setahun dengan tumpuan di Semenanjung Malaysia dan ke Sabah dan Sarawak menjelang suku ketiga 2014.

Menerusi slogan nama 'ATM untuk semua', MEPS menawarkan pelbagai perkhidmatan, daripada pengeluaran wang tunai sehinggalah kepada pertanyaan baki untuk 15 bank tempatan dan asing.

Ia adalah tambahan kepada pengeluaran tunai merentas sempadan dan perkhidmatan e-pembayaran.
Ia juga akan memperkenal pertukaran mata wang untuk pemegang kad asing menjelang suku ketiga tahun depan.

"Inisiatif ini dilakukan menerusi sokongan Program Transformasi Ekonomi Kerajaan dan aspirasi masyarakat tanpa tunai oleh Bank Negara Malaysia," kata Zulkarnain.

Beliau berkata demikian pada pelancaran pertama ATM bukan bank MEPS di hotel Ritz-Carlton Kuala Lumpur di sini hari ini.

Acara itu dirasmikan oleh Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Muhammad Ibrahim.

Dalam ucapannya, beliau menyambut baik langkah MEPS itu memandangkan ia memudahkan pengumpulan sumber serta menggalakkan kecekapan selain keberkesanan kos, dan pada masa yang sama memberikan lebih banyak akses kepada pengguna.

Beliau juga berkata langkah itu akan meningkatkan keupayaan sektor kewangan dalam meningkatkan peralihan pengguna kepada sistem e-pembayaran.

"Infrastruktur pembayaran asas tidak sewajarnya menjadi alat untuk bersaing, sebaliknya mengurangkan kos serta mengguna pakai standard yang seragam.

"Pemindahan yang berjaya berpotensi memacu kecekapan dan penjimatan kos, selain meningkatkan kedudukan kompetitif negara.

"E-pembayaran boleh menjimatkan kira-kira satu peratus keluaran dalam negara kasar negara setahun," kata Muhammad.