KUALA LUMPUR: Maxis Bhd dijangka menandatangani perjanjian capaian (AA) 5G tidak lama lagi sekali gus mengorak laluan untuk pelancaran 5G komersial, menurut RHB Investment Bank Bhd (RHB IB).

Penganalisis RHB IB, Jeffrey Tan berkata, mesyuarat dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maxis, Goh Seow Eng, mengesahkan AA itu adalah hasil yang boleh dijangkakan dengan pasti.

"Kami mendapati perbincangan tertumpu pada penyelarasan perjanjian borong bagi mencerminkan peralihan dasar (ke arah dwirangkaian 5G).

"Hal ini memberi jangkaan kos/belanja capaian lebih rendah mengikut syarat yang diubah suai, dengan kemungkinan tempoh lebih singkat (berbanding perjanjian selama 10 tahun) yang dimeterai," katanya dalam nota penyelidikan Buletin Syarikat Patuh Syariah, Telekomunikasi yang dikeluarkan pada Jumaat.

Beliau berpandangan perbincangan yang dijalankan juga mengambil kira perlakuan tertentu oleh pengendali rangkaian mudah alih (MNO) dengan syarat dan klausa jelas membentuk sebahagian daripada pelaburan dalam Digital Nasional Bhd (DNB).

"Hal ini mungkin menyebabkan MNO akhirnya menjual pegangan ekuiti mereka dalam DNB untuk spektrum, dalam rangkaian 5G kedua (Entiti B)," katanya.

Tan berkata, walau bagaimanapun, kebimbangan pasaran adalah mengenai perbelanjaan modal (capex) jangka sederhana dan kemampanan dividennya, dengan capex mungkin kekal tinggi.

"Walaupun panduan capex semasa oleh pihak pengurusan menunjukkan capex/jualan (tidak termasuk 5G) terkawal sebanyak kira-kira 11 peratus, bayangan mengenai pertumbuhan capex iaitu pelaburan gentian dan 5G (bergantung pada perkembangan Entiti B) menunjukkan intensiti capex berkemungkinan lebih tinggi dalam jangka sederhana, dan perkara ini mungkin menjejaskan bayaran dividen," katanya.

Beliau berkata, pada pandangan RHB IB, kejelasan mengenai model borong 5G baharu tetap menjadi pemangkin utama bagi harga saham.

Tan mengekalkan saranan 'neutral' bagi Maxis iaitu harga saham mungkin susut dalam julat +/-10 peratus bagi tempoh 12 bulan, dengan harga sasaran RM4.03 menerusi aliran tunai terdiskaun.

Pada pukul 11.55 pagi, harga saham Maxis turun tujuh sen kepada RM3.95 dengan 520,700 saham bertukar tangan. - BERNAMA