KUALA LUMPUR: Prestasi eksport Malaysia yang kukuh pada Julai menunjukkan negara mendapat manfaat susulan daripada beralihnya perdagangan global, menurut Malaysia Rating Corp Bhd (MARC).

Ketua Ahli Ekonominya Ray Choy berkata pertikaian perdagangan yang berterusan antara China dan rantau-rantau lain memberi kesan besar kepada prestasi eksport keseluruhan.

"Indeks Pengurus Pembelian (PMI) China telah menurun lebih cepat berbanding dari negara-negara lain di seluruh dunia, tetapi penurunan PMI Malaysia kurang ketara berbanding negara-negara lain.

"Kami mendapati prestasi eksport Malaysia tidak teruk terjejas. Ini membuktikan kepada kami ia mendapat manfaat daripada peralihan perdagangan global dan mungkin boleh menjadi senario asas pada masa akan datang," katanya di forum Ekonomi dan Prospek Pasaran: Peluang Di Sebalik Pertumbuhan Lebih Kukuh dan Pelonggaran Monetari pada Rabu.

Sesi yang diadakan dalam talian itu merupakan sebahagian daripada Persidangan Bon dan Sukuk Malaysia 2024: Menentukan Haluan Untuk Ekonomi Malaysia yang dianjurkan oleh MARC dan berlangsung selama dua hari.

Eksport Malaysia pada Julai 2024 mengatasi jangkaan ahli ekonomi dengan mencatatkan pertumbuhan 12.3 peratus tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM131.15 bilion berbanding RM116.75 bilion pada tahun sebelumnya.

Beliau juga berkata ekonomi Malaysia mendapat manfaat daripada normalisasi aktiviti-aktiviti pelancongan.

"Kini berlakunya normalisasi dalam aktiviti pelancongan di Malaysia disokong oleh pelancong China, ASEAN dan di seluruh dunia, yang menyokong perbelanjaan pengguna untuk kekal kukuh," tambah Choy.

Sehubungan itu, beliau menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan berada pada kadar 4.8 peratus tahun ini, manakala unjuran untuk tahun depan ialah 4.5 peratus.

Beliau berkata keyakinan yang semakin menurun dalam sektor pembuatan dan perniagaan serta di beberapa sektor berupaya menimbulkan risiko kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

"Risiko dijangka daripada pembentukan modal tetap kasar dan pelaburan langsung asing (FDI) yang agak tidak menentu," katanya.

Choy berkata faktor-faktor yang mempengaruhi unjuran KDNK Malaysia untuk 2025 adalah normalisasi pembentukan modal tetap kasar dan FDI serta ketidaktentuan geopolitik dan risiko inflasi.

-- BERNAMA