Malindo Air memperkenalkan kategori tambang kelas perniagaan baharu menerusi pilihan Kelas Perniagaan Flexi dan Kelas Perniagaan Promo.

Menurut syarikat itu, Kelas Perniagaan Flexi mengekalkan ciri tambang penuh manakala Kelas Perniagaan Promo sesuai untuk mereka yang mahu terbang dalam kelas perniagaan pada harga lebih rendah.

"Kedua-dua kategori tambang kelas perniagaan itu menawarkan elaun bagasi berdaftar selain sehingga dua bagasi kabin dengan maksimum berat 10 kilogram (kg).

"Hidangan lengkap atau snek dalam pesawat, pilihan tempat duduk, mata Malindo Miles, tempat duduk kulit yang luas berserta skrin hiburan peribadi dalam pesawat untuk perjalanan yang menyenangkan juga ditawarkan," katanya.

Malindo Air berkata Kelas Perniagaan Flexi juga ditampilkan dengan ciri elaun bagasi 40 kg, tiga kali ganda mata Malindo Miles bagi setiap ringgit yang dibelanjakan serta keistimewaan akses bilik istirehat di lapangan terbang dengan kemudahan yang tersedia.

Kelas Perniagaan Promo juga menawarkan elaun bagasi 30 kg dan 1.5 kali ganda mata Malindo Miles, menurutnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Chandran Rama Muthy berkata berasaskan penyesuaian itu, pihaknya menjadikan kelas perniagaan lebih dapat diakses oleh mereka yang mementingkan kos.

"Dalam usaha menjadikan produk kami sentiasa relevan, Malindo Air berusaha melaksanakan pelbagai penambahbaikan produk demi memenuhi permintaan penumpang dan rakan kongsi peniagaan perjalanan.

"Kami mahu terus menumpukan pelanggan dan memberi pengalaman penerbangan lebih baik setiap kali mereka terbang bersama Malindo Air," katanya.

Penambahbaikan juga dilaksanakan terhadap elaun bagasi berdaftar Ekonomi Flexi/Shuttle (bagi penerbangan menggunakan pesawat ATR) dan Ekonomi Value (bagi penerbangan dengan pesawat jet).

Elaun bagasi Ekonomi Flexi/Shuttle ditambah kepada 30 kg berbanding 10 kg sebelum ini, manakala bagi Ekonomi Value pula ia ditambah sebanyak lima kg kepada 20 kg, dengan semua perubahan ini hanya terpakai ke atas pesawat yang dikendalikan Malindo Air sahaja.

Malindo Air merupakan syarikat penerbangan Malaysia dengan hab utama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Subang Skypark di Selangor.

Kumpulan pesawatnya juga meningkat kepada 13 pesawat jenis ATR72-600 dan 29 pesawat Boeing 737 setakat Julai 2019.

-- BERNAMA