Malaysia berharap untuk menarik jumlah pelaburan langsung asing (FDI) yang sama seperti tahun lepas walaupun persekitaran ekonomi yang mencabar.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, tahun lepas Malaysia mencatat RM39 bilion FDI.

Menurutnya, ekonomi Malaysia yang amat pelbagai, asas pembuatan yang kukuh, infrastruktur yang maju, dasar kerajaan yang proaktif dan tenaga kerja yang berbilang bahasa adalah antara sebab pelabur terus melihat Malaysia sebagai pusat keuntungan.

"Saya percaya kita boleh mengulangi apa yang kita capai tahun lepas dari segi FDI dan sebahagian besar daripada mereka adalah daripada sektor perkhidmatan dan pembuatan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan sesi dialog dengan 14 syarikat berpangkalan di Pulau Pinang di sini, hari ini.

Mustapa berkata, Asia akan menjadi sumber baharu FDI pada masa depan manakala pelabur dari Eropah dan AS akan terus melihat Malaysia sebagai destinasi terbaik mereka.

Menurutnya, tahun ke tahun, FDI meningkat kepada RM12.8 bilion pada suku pertama 2016 daripada RM10 bilion dalam tempoh yang sama 2015.

Bagaimanapun, Mustapa berkata, penutupan sebahagian syarikat pembuatan di Malaysia tidak akan menyebabkan pembuangan pekerja yang lebih ramai.

Katanya, dalam tempoh 18 bulan lalu, 90,000 pekerjaan baharu daripada sektor pembuatan diwujudkan berbanding hanya 10,000 dalam tempoh yang sama.

"Perubahan radikal dan menimbulkan gangguan disebabkan evolusi digital telah memberi kesan kepada cara perniagaan dijalankan.

"Penutupan banyak industri berintensifkan buruh, sama ada elektrik dan elektronik atau kenderaan bermotor, bukan tidak dijangka. Industri seumpama itu, dalam banyak cara, telah kehilangan kelebihan perbandingan dan daya saing.

"Menghentikan pekerja adalah proses normal, sebahagian penyusunan semula industri kerana teknologi berubah dan syarikat cenderong untuk menyesuaikan diri kepada teknologi baharu. Apa yang penting ialah lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan," katanya.

Menteri itu berkata, Malaysia terus menjadi lokasi pilihan untuk pelaburan sebagaimana dicerminkan oleh prestasi pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama pada suku pertama 2016 yang mencatat 1,271 projek dengan pelaburan sebanyak RM37.3 bilion.

Untuk Pulau Pinang, Mustapa berkata, negeri itu akan terus menarik pelaburan dalam pelbagai industri termasuk aktiviti reka bentuk, penyelidikan dan pembangunan serta produk diode memancarkan cahaya.

Pada suku pertama tahun ini, Pulau Pinang menarik pelaburan diluluskan sebanyak RM1.34 bilion dalam 27 projek pembuatan.

Menurutnya, terdapat 34 projek yang sedang dirancang dengan nilai pelaburan RM1.67 bilion daripada sektor elektrik dan elektronik, peranti perubatan, kejenteraan dan kelengkapan, kimia serta produk kimia. -- BERNAMA