KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) hari ini mengumumkan kadar dividen sebanyak lima peratus dengan jumlah pembayaran sebanyak RM476.45 juta bagi tahun 2022.

Ia menyaksikan peningkatan dividen berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 4.1 peratus dengan jumlah pembayaran RM379.42 juta.

Kadar dividen pada 2022 juga merupakan kenaikan bagi lima tahun berturut-turut sejak 2018.

Pengerusi LTAT, Jeneral (Bersara) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, walaupun 2022 merupakan tahun yang mencabar buat lembaga itu, tetapi LTAT berjaya menangani cabaran dan mengukuhkan kedudukannya serta kekal kompetitif dengan dana-dana lain.

"Pelan yang dipaksikan Rangka Kerja Perumpukan Aset Strategik (SAA) ini bertujuan untuk memberi pulangan jangka masa panjang yang mampan kepada pencarum, iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pesara tentera.

"Saya berbangga LTAT berjaya untuk mengumumkan peratusan dividen yang lebih baik tahun ini sebanyak lima peratus, sekali gus mencapai misi 5:50 bersempena dengan sambutan Jubli Emas LTAT.

"Ini juga menunjukkan peningkatan kadar dividen yang konsisten sejak tahun 2018," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

LTAT merekodkan RM652.36 juta Pendapatan Kasar untuk tahun dalam tinjauan, iaitu peningkatan sebanyak 27.4 peratus berbanding tahun sebelumnya, yang didorong oleh hasil pendapatan pelaburan ekuiti awam dan persendirian.

Selain itu, LTAT merekodkan RM499.64 juta Pendapatan Tertahan iaitu peningkatan signifikan sebanyak 72.8 peratus berbanding RM289.15 juta pada tahun 2022.

Dalam pada itu kenyataan tersebut memaklumkan sebagai langkah untuk memberi pulangan jangka masa panjang yang mampan, LTAT telah mengumumkan notis tawaran pengambilalihan secara sukarela bersyarat kepada Boustead Holdings Berhad (BHB) untuk mengstruktur semula portfolio pelaburannya.

Tawaran itu, kata LTAT akan memberikan fleksibiliti kepada lembaga berkenaan untuk menjalankan pelan pemulihan BHB dan meningkatkan pulangan kepada pencarum dalam jangka masa panjang.