PUTRAJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan memastikan hasrat kerajaan untuk memandatorikan penggunaan e-Invois pada 1 Julai 2025 kepada semua peringkat pembayar cukai dapat direalisasikan.

LHDN dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan fasa pertama pelaksanaan e-Invois akan bermula pada 1 Ogos ini melibatkan syarikat yang mempunyai pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta.

"Fasa kedua pula akan melibatkan syarikat yang mempunyai pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM 25 juta hingga RM100 juta," demikian menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan sempena sesi dialog Ketua Pegawai LHDN Datuk Dr Abu Tariq bersama 42 persatuan perdagangan Malaysia melibatkan lebih daripada 110 orang ahli-ahli perniagaan di sebuah hotel di sini semalam.

LHDN memaklumkan sesi itu merupakan salah satu agenda utama dalam membuka ruang kepada pihak persatuan dan pihaknya untuk berinteraksi dengan lebih dekat dalam membincangkan kepentingan bersama khususnya perihal percukaian.

"Menyedari peranan penting yang dimainkan oleh pihak persatuan dalam mencorak kepesatan ekonomi menerusi transaksi urus niaga.

"Langkah ini turut bertujuan untuk memastikan daya saing dan kelangsungan perniagaan dalam kalangan ahli berada pada tahap yang kompetitif," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA