KUALA LUMPUR: Simulasi Maybank Investment Bank (Maybank IB) menunjukkan harga petrol RON95 perlu dinaikkan 32 sen seliter atau 15.6% bermula pada 1 Julai 2024 untuk kerajaan mendapatkan penjimatan sebanyak RM4.1 bilion lagi - menggenapkan sasaran pengurangan perbelanjaan subsidi RM11.5 bilion dalam Belanjawan 2024.


Ringkasan AI
  • Maybank IB berkata, melalui simulasinya, harga petrol RON95 perlu dinaikkan untuk jimat RM4.1 bilion dalam Belanjawan 2024. Jika harga naik 32 sen pada 1 Julai, penjimatan dicapai, atau 65 sen pada 1 Oktober untuk mencapai sasaran.
  • Sasaran Belanjawan 2024 ialah mengurangkan subsidi dan bantuan sosial sebanyak RM11.5 bilion. Sudah ada penjimatan RM7.4 bilion, termasuk RM4 bilion daripada subsidi elektrik dan RM1.2 bilion daripada penghapusan subsidi harga ayam.
  • Maybank IB juga menekankan pentingnya penyatuan fiskal untuk mengurangkan defisit dan hutang kerajaan. Langkah-langkah termasuk penambahbaikan cukai dan penggunaan "e-invois" untuk meningkatkan hasil fiskal.


Menurut Ketua Ekonomi Maybank IB, Suhaimi Ilias, sebaliknya jika penyasaran subsidi petrol RON95 bermula pada 1 Oktober 2024, harga petrol RON95 perlu dinaikkan sebanyak 65 sen seliter atau 31.7% bagi membolehkan mencapai penjimatan RM4.1 bilion pada suku keempat 2024 (4Q2024).

Katanya, kerajaan meletakkan sasaran pada Belanjawan 2024 untuk mengurangkan subsidi dan bantuan sosial sebanyak RM11.5 bilion yang mana pengurangan RM7.4 bilion telah dicapai atau sudah diumumkan pelaksanaannya.

Ia termasuk penjimatan RM4 bilion daripada penyasaran subsidi elektrik dan RM1.2 bilion daripada penghapusan subsidi harga ayam.

"Pengurangan sebanyak RM2.2 bilion lagi adalah daripada penyasaran subsidi diesel yang bermula 10 Jun 2024, iaitu jumlah pro-rata berbanding RM4 bilion yang boleh dicapai bagi setahun penuh," katanya. 

Jelas firma itu, ini menjadikan RM4.1 bilion lagi untuk dicapai dan inilah yang akan dilakukan melalui penjimatan daripada penyasaran subsidi petrol RON95," katanya dalam nota penyelidikan berkaitan fiskal negara yang disediakan bersama dua lagi penganalisis Maybank IB hari ini.

Menurut Maybank IB, kenaikan 10 sen seliter petrol RON95 mampu menjimatkan RM2.5 bilion subsidi untuk setahun penuh dengan mengandaikan kenaikan diimbangi bantuan tunai bulanan kepada penerima yang layak seperti mana penyasaran subsidi diesel.

Kata penganalisis firma penyelidikan itu, soal 'bilakah' harga petrol RON95 akan dinaikkan bagi tujuan penyasaran subsidi petrol RON95 akhirnya adalah "keputusan politik".

"Sudah tentu, Kerajaan mempunyai kata putus mengenai kuantum dan masa sebenar pelarasan harga RON95. 

"Malah kerajaan juga boleh menangguhkan pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol RON95 yang disasarkan," jelasnya.

Malah Suhaimi berkata, dividen tambahan daripada Petronas boleh menampung andai RM4.1 bilion yang diperlukan bagi mencapai sasaran Belanjawan 2024 tidak diperoleh sepenuhnya.

"Sebarang kekurangan berbanding RM4.1 bilion yang diperlukan untuk mencapai sasaran pengurangan perbelanjaan subsidi sebanyak RM11.5 bilion dalam Belanjawan 2024 boleh ditampung oleh dividen tambahan Petronas berbanding RM32 bilion yang dianggarkan untuk tahun ini," ujarnya.

Sementara itu, nota penyelidikan itu juga menegaskan yang penyatuan fiskal iaitu pengurangan defisit dan hutang oleh kerajaan merupakan penyelesaian cepat atau sasaran yang mudah dilakukan dalam mencapai pembaharuan dan penstrukturan naratif ekonomi Malaysia seperti ditetapkan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023.

Menurut Maybank IB, kerajaan menetapkan mencapai sasaran paras hutang Kerajaan Persekutuan tidak boleh lebih 60% Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) manakala paras defisit tidak boleh lebih 3% dalam tempoh 3 hingga 5 tahun dengan paling awal pada 2026 dan paling lewat pada 2028.

"Kami juga percaya kemajuan dalam penyatuan fiskal dapat memberi kesan yang baik kepada Ringgit Malaysia, yang telah stabil berbanding dengan dolar AS  dalam beberapa minggu terkini atas campur tangan Bank Negara Malaysia (BNM) dan tindakan Kerajaan untuk menggalakkan bawa pulang pendapatan pertukaran asing dan pendapatan pelaburan luar negara, dan menukarnya kepada Ringgit," katanya.

Kata firma penyelidikan itu, penyatuan fiskal dimulai dengan langkah-langkah penambahbaikan cukai yang meningkatkan pendapatan pada 1Q 2024 iaitu  Cukai Keuntungan Modal, Cukai Barangan Bernilai Rendah, peningkatan asas Cukai Perkhidmatan kepada 8% dan ditambah dengan kenaikan "Cukai Gula".

Menurut Maybank IB, pendapatan tambahan yang dianggarkan adalah RM4.5 bilion atau 0.23% daripada KDNK dengan Belanjawan 2024 meletakkan sasaran untuk mengurangkan defisit belanjawan kepada -4.3% daripada KDNK (2023: -5% daripada KDNK) iaitu -0.7ppt.

"Kini, kita beralih kepada penjimatan subsidi bahan api. Penjimatan subsidi bahan api yang disasarkan bermula dengan diesel pada bulan ini," katanya.

Dalam pada itu, katanya, pembaharuan fiskal lain tahun ini termasuk penambahbaikan lagi dalam kecekapan sistem cukai dan pematuhan untuk meningkatkan hasil melalui penggunaan "e-invois" yang dilancarkan secara berperingkat mulai 1 Jun 2024. 

"Di samping itu, kami menjangkakan Kerajaan akan membentangkan Akta Perolehan Kerajaan (GPA) kepada Parlimen tahun ini. GPA ialah perundangan utama seterusnya selepas FRA mengenai penyatuan dan pembaharuan fiskal untuk meningkatkan lagi tadbir urus fiskal, mengukuhkan disiplin fiskal dan mempertajam pengawasan terhadap kewangan awam," ujarnya. - Dagang News