KUALA LUMPUR: Kerajaan komited dalam meningkatkan persekitaran yang mampu mengembangkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk menyumbang sepenuhnya kepada kemakmuran Malaysia, kata Kementerian Kewangan (MoF).

Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying berkata, kerajaan juga mengiktiraf peranan kritikal PMKS sebagai tulang belakang ekonomi negara, memacu inovasi, penciptaan pekerjaan dan kemajuan sosial.

"Kerajaan adalah rakan kongsi yang boleh diharapkan dalam usaha meningkatkan PMKS. Kami percaya dengan bekerjasama, ekosistem PMKS yang berkembang maju serta memacu kemakmuran ekonomi Malaysia dapat diwujudkan," katanya dalam ucaptama di Forum Tinjauan Perniagaan Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC) 2024, pada Khamis.

Lim berkata, kerajaan telah mewujudkan pelbagai geran dan inisiatif untuk membantu PMKS mengatasi cabaran seperti akses kepada kewangan, pasaran dan pembangunan bakat tenaga kerja.

Pertumbuhan dan kelangsungan perniagaan juga sering diancam risiko seperti perubahan iklim, gangguan perniagaan dan akses terhad kepada pasaran modal, katanya.

Oleh itu, untuk menangani cabaran ini, kerajaan menawarkan dasar dan program bersasar bagi menyokong PMKS dalam mengatasi halangan dan mampu bertapak dengan kukuh.

Antara dasar tersebut ialah Rebat Cukai Syarikat Pemula Niaga PKS, yang menawarkan rebat 20 peratus pada RM20,000 pertama pendapatan bercukai untuk tiga tahun pertama berturut-turut, dan Potongan Khas PKS, yang membolehkan PKS Malaysia menuntut potongan 30 peratus ke atas perbelanjaan yang layak ditanggung untuk proses automasi operasi mereka.

Selain itu, PKS yang memasang kemudahan pengecas kenderaan elektrik di premis mereka boleh menuntut potongan cukai sehingga RM2,500 untuk memasang, menyewa atau membeli stesen pengecasan sehingga Tahun Taksiran 2027.

Satu lagi insentif penting ialah Elaun Cukai Pelaburan, yang memberikan pelepasan cukai, membolehkan PKS menuntut potongan sehingga 60 peratus ke atas perbelanjaan modal yang layak untuk pengembangan perniagaan.

Kerajaan juga berikrar untuk memudahkan peraturan dan mengurangkan beban birokrasi bagi semua jenis saiz perniagaan.

Lim berkata, pembangunan bakat juga merupakan keutamaan utama, dengan kerajaan melabur dalam program pendidikan dan latihan untuk melengkapkan tenaga kerja dengan kemahiran yang diperlukan bagi memenuhi permintaan ekonomi moden. - BERNAMA