KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mencadangkan supaya cukai keuntungan terhadap syarikat-syarikat besar dinaikkan sebanyak 3 peratus iaitu daripada 24 peratus kepada 27 peratus.

Beliau berkata kenaikan dilihat sangat penting demi memastikan agihan yang lebih banyak diberikan kepada rakyat.

"Dalam soal cukai ini, saya menyimpulkan memandangkan pemungutan cukai penting kepada ekonomi negara maka saya ingin mencadangkan, Kerajaan perlu naikkan hasil setiap tahun saya mencadangkan supaya Kerajaan memikirkan agar menaikkan kadar ke atas keuntungan syarikat  syarikat besar, ertinya kita naikkan cukai keuntungan syarikat syarikat besar yang mendapat keuntungan besar setiap tahun.

"Sekarang syarikat besar yang pendapatan besar, dikenakan cukai 24 peratus, jadi kita jangan bebankan rakyat, ringankan kehidupan rakyat, kita naikkan cukai keuntungan terhadap syarikat-syarikat yang besar ini. Saya cadangkan naik tiga peratus lagi. Supaya menjadi 27 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahas Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Bagi Pemungutan, Pentadbiran dan Penguatkuasaan Cukai 2024 (Kementerian Kewangan) di Dewan Rakyat pada Rabu.

Menurut Hassan lagi, gaji pekerja rakyat di Malaysia tidak tinggi dan tidak sampai 40 peratus hasil yang diperoleh sesebuah syarikat yang mempunyai keuntungan yang besar.

"Pekerja-pekerja kita gajinya tidak lah besar, ertinya tidak sampai 40 peratus hasil kekayaan sesebuah syarikat. Jadi itu cadangan saya, nak selamatkan negara ini, jangan seksa tapi naikkan cukai syarikat besar ini," katanya lagi.