JASIN: Bapa kepada empat anak yang rentung dalam nahas kebakaran rumah di Kampung Berangan Enam, Umbai di sini awal pagi tadi, tidak dapat menahan sebak mengenangkan pemergian tragis isteri serta anak-anaknya


Ringkasan AI
  • Muhammad Khairuddin Saari, 35, tidak dapat menahan sebak mengenangkan pemergian tragis isteri dan empat anaknya yang terkorban dalam kebakaran rumah di Kampung Berangan Enam, Umbai. Beliau masih terdengar suara jeritan isteri memanggil anak-anak untuk keluar dari api yang marak.
  • Muhammad Khairuddin terselamat selepas dibantu keluar oleh penduduk setempat, sementara isteri, Laila Fathinah Mustapa, 37, dan empat anaknya, Nur Damia Batrisyia Abdullah, 13, Izz Daffa Hafizuddin, 7, Nur Dalilah Khadijah, 6, dan Izz Danish Fathi, 4, terkorban. Mayat mereka ditemui di beberapa lokasi berhampiran jeriji pintu rumah.
  • Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh melawat Muhammad Khairuddin di Hospital Jasin dan menyalurkan bantuan awal sebanyak RM2,000. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


Muhammad Khairuddin Sa’ari, 35, yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Jasin berkata, masih jelas terngiang-ngiang di telinganya suara jeritan isteri memanggil nama empat anaknya untuk cuba keluar daripada api yang sedang marak.

“Saya masih terdengar-dengar suara isteri panggil nama anak-anak, saya minta maaf mak,” raungannya kepada ibu mentuanya, Ruziha Osman, 60, di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Jasin, di sini, hari ini.

Muhammad Khairuddin sebelum itu menerima kunjungan daripada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di hospital berkenaan yang turut menyalurkan bantuan awal sebanyak RM2,000.

Terdahulu, dalam kejadian itu Muhammad Khairuddin terselamat selepas berjaya dibantu keluar dari rumah oleh penduduk setempat.

Namun isteri, Laila Fathinah Mustapa, 37, dan empat anaknya, Nur Damia Batrisyia Abdullah, 13, Izz Daffa Hafizuddin, 7, Nur Dalilah Khadijah, 6, dan Izz Danish Fathi, 4, terkorban dalam tragedi tersebut.

Mayat wanita berusia 37 tahun itu ditemui di bahagian serambi rumah, manakala empat anaknya berusia 13, 7, 6 dan 4 tahun di beberapa lokasi berhampiran jeriji pintu rumah berkenaan.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Jasin untuk proses bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.