KUALA LUMPUR: Senarai muktamad peluasan skop dan semakan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) akan diwartakan melalui perundangan subsidiari pada suku pertama 2025 selepas proses libat urus diselesaikan bagi membolehkan persediaan secukupnya sebelum perubahan SST dikuatkuasakan.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), pada masa ini, kerajaan melalui kementerian itu dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia sedang giat mengadakan sesi libat urus dengan kementerian dan pihak industri bagi memuktamadkan skop dan kadar cukai yang terlibat.

"Selain libat urus dengan industri yang berkait langsung dengan cukai jualan, industri-industri besar yang melibatkan perkhidmatan turut dilibatkan," katanya menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen pada Khamis.

Kementerian itu menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mengenai perincian peluasan skop SST secara progresif yang akan dilaksanakan berkuat kuasa 1 Mei 2025 dan sama ada terdapat peningkatan kadar cukai dalam peluasan skop yang akan dimuktamadkan kelak.

MOF berkata, setelah menilai dan mengambil kira input yang telah diterima daripada sesi libat urus berkenaan, kerajaan akan mencadangkan penetapan kadar cukai jualan pada sifar peratus dikekalkan ke atas barangan keperluan asas.

Kadar pada 5.0 dan 10 peratus pula akan diperluas kepada barangan bukan keperluan asas, diproses, bernilai tinggi serta barangan diimport.

"Penetapan cukai perkhidmatan pula melibatkan kadar yang dicadangkan sebanyak 6.0 dan 8.0 peratus untuk diperluas kepada sektor perkhidmatan tertentu," katanya.

Menurut MOF, libat urus turut membincangkan kompleksiti isu berbangkit kesan kenaan yang bakal memberi impak terhadap sektor perkhidmatan terlibat.

Sehubungan itu katanya, kerajaan akan memastikan kadar berkenaan tidak memberi kesan kepada golongan rentan dan kesan inflasi yang terkawal.

-- BERNAMA