KUALA LUMPUR:Kadar pengangguran meningkat 0.1 mata peratus berbanding bulan sebelumnya kepada 4.7 peratus pada Oktober 2020 dengan sejumlah 748.2 ribu orang penganggur, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Dato Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, "Kedudukan tenaga buruh bertambah baik pada Oktober 2020 dengan kadar yang lebih perlahan berikutan peningkatan dalam kedua-dua indikator penduduk bekerja dan bilangan penganggur.

Penduduk bekerja terus mencatatkan trend menaik bagi tempoh lima bulan berturut-turut dengan peningkatan marginal 0.1 peratus bulan ke bulan atau bersamaan 14 ribu orang kepada 15.21 juta orang.

Walaupun kebanyakan negeri menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa pada 14 Oktober 2020, aktiviti operasi perindustrian dan perniagaan masih diteruskan dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard yang ketat.

Justeru, kedudukan pasaran buruh kekal sederhana dengan indikator nisbah guna tenaga kepada penduduk menunjukkan kenaikan kepada 65.3 peratus pada Oktober 2020.

"Dari segi taraf pekerjaan, bilangan yang lebih tinggi direkodkan bagi kategori pekerja pada Oktober dengan peningkatan sebanyak 28.1 ribu orang kepada 11.76 juta orang berbanding bulan sebelumnya.

"Sebaliknya, bilangan yang bekerja sendiri menurun sebanyak 0.3 peratus merekodkan 2.43 juta orang berbanding bulan sebelum ini.

Sementara itu, penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu menokok kepada 183.6 ribu orang berbanding September 2020 (100.7 ribu orang) disebabkan oleh pelaksanaan PKPB pada bulan tersebut.

Sebagai rekod, negara mencatatkan bilangan tertinggi bagi mereka yang tidak bekerja buat sementara waktu dengan sejumlah 5.9 juta orang semasa PKP pada April 2020.

Kumpulan ini, tidak dikategorikan sebagai penganggur kerana mereka berpotensi untuk kembali bekerja.

"Melihat kepada situasi semasa dengan peningkatan bilangan kes baharu COVID-19 sejak Oktober 2020, pasaran buruh akan terus berhadapan ketidaktentuan.

Dengan, PKPB mula ditamatkan secara berperingkat sejak 7 Disember, ini sebahagiannya akan mendorong sektor ekonomi untuk mendapatkan kembali momentum berikutan permintaan yang lebih tinggi dan seterusnya, menggalakkan perniagaan untuk terus mengekalkan malahan meningkatkan peluang pekerjaan.

-- BERNAMA