JOHOR BAHRU: Pemeteraian perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) semalam menandakan bab baharu dalam usaha sama membangunkan ekonomi serantau, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Lee Ting Han.

Beliau berkata ini sejajar dengan trend antarabangsa yang menekankan integrasi ekonomi, pembangunan mampan dan teknologi tinggi.

"Perjanjian ini juga sejajar dengan lonjakan permintaan global terhadap teknologi bersih dan ekonomi digital serta bakal menjadikan Johor pemain utama dalam landskap ekonomi ASEAN yang semakin kompetitif.

"Ia juga mencerminkan pengukuhan hubungan diplomatik kedua-dua wilayah yang strategik dalam meningkatkan daya tahan rantaian bekalan serantau serta mencipta peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Lee berkata perjanjian itu memanfaatkan kelebihan Johor-Singapura untuk menarik pelaburan bernilai tinggi.

Katanya kelebihan kedua-dua negara dari segi geografi, sumber atau kekuatan sedia ada mampu menarik pelaburan terutamanya dalam sektor tertentu seperti pembuatan termaju, teknologi hijau, logistik, kewangan, pelancongan, tenaga, automasi pintar dan lain-lain.

Mengulas lanjut, Lee berkata kerajaan negeri sedang mengambil inisiatif untuk merangka pelan pembangunan Zon Ekonomi Khas ini supaya sasaran pembangunan mampan dan komprehensif dapat dicapai.

Katanya kerajaan negeri menjangkakan peningkatan pelaburan secara berperingkat dalam tempoh lima hingga 10 tahun, bergantung kepada fasa pelaksanaan dan daya tarikan kepada pelabur global.

Beliau berkata pada peringkat awal, fokus terurus kepada pembangunan infrastruktur asas seperti Sistem Transit Rapid Johor-Singapura (RTS) serta kemudahan sokongan di kawasan JS-SEZ selain menarik pelaburan dalam sektor seperti petrokimia, kimia, pusat data, peranti perubatan yang Johor telah mempunyai ekosistem sedia ada.

Katanya projek infrastruktur moden RTS mempercepat pergerakan tenaga kerja, pelabur dan pelancong antara kedua-dua wilayah, sekali gus meningkatkan daya saing Johor sebagai hab ekonomi serantau.

"RTS merupakan antara projek merentasi sempadan negara pertama di rantau ini, juga mencerminkan visi ASEAN untuk memperkukuh integrasi ekonomi dan sosial dengan membangunkan infrastruktur yang memudahkan perdagangan dan hubungan diplomatik rentas sempadan sekali gus memberi impak positif kepada sektor perniagaan, pelaburan dan pembangunan bandar pintar di Johor dan Singapura.

Katanya secara keseluruhannya, penubuhan JS-SEZ adalah langkah strategik untuk menjadikan negeri ini lebih berdaya saing dalam ekonomi global, seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada sumber ekonomi tradisional.

"Harapan kita melalui JS-SEZ ialah memastikan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan, sekali gus memberi impak positif kepada kesejahteraan rakyat.

"Negeri ini bercita-cita untuk menjadi hab utama teknologi hijau dan teknologi tinggi di ASEAN, menarik pelaburan berkualiti tinggi yang bukan sahaja memacu ekonomi tetapi juga mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tambah kepada rakyat tempatan," katanya.

-- BERNAMA