Isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak menjejaskan kemasukan pelaburan asing ke Malaysia malahan keyakinan pelabur terhadap negara semakin tinggi, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata para pelabur melihat kepada prospek jangka masa panjang dan Malaysia mempunyai prospek pelaburan jangka sederhana dan panjang yang baik.

"Minggu lepas kita ada tokoh-tokoh korporat daripada 20 syarikat Amerika Syarikat yang berjumpa dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan saya, mereka menyatakan keyakinan terhadap prospek pembangunan Malaysia," katanya.

Mustapa berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Taklimat Insentif Pengeluaran Getah (IPG) peringkat Parlimen Jeli di sini, hari ini.

Menurutnya, kedudukan politik yang stabil dan keupayaan kerajaan untuk memacu kemajuan negara menyebabkan para pelabur mampu meraih keuntungan.

Beliau juga berkata laporan mengenai 1MDB yang dibentangkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada Khamis lepas jelas menunjukkan tiada kaitan antara 1MDB dengan Perdana Menteri.

"Kita telah membazirkan masa lebih setahun untuk berbahas tentang perkara ini, pelbagai fitnah dilontarkan terhadap Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia," katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu rakyat melihat ke hadapan untuk terus memajukan negara termasuk memastikan peluang pekerjaan, perniagaan dan pendidikan yang mencukupi.

"Jangan membazirkan tenaga dengan melayani fitnah yang berleluasa lebih setahun, sekarang tamat satu episod, kita melihat ke masa hadapan, kita bina negara kita, bersatu padu elakkan fitnah antara satu sama lain," kata Mustapa.