Invest Selangor Berhad telah mengumumkan pelancaran Program Perkongsian Makmal Selangor yang menyasarkan penyertaan 10 syarikat berasaskan sains hayat menjelang akhir tahun.

Inisiatif ini bertujuan untuk memberikan akses kepada syarikat-syarikat terlibat menggunakan kemudahan penyelidikan terkini serta kepakaran institusi akademik di negeri tersebut.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Datuk Hasan Azhari Idris, program ini mampu memacu pertumbuhan perniagaan dan memperkukuh hubungan antara pemegang taruh dalam sektor sains hayat.

“Mereka ini kebanyakannya syarikat pemula yang tidak mempunyai kemudahan sebegini. Oleh itu, kita cuba menghubungkan antara industri dan juga universiti supaya mereka boleh bekerjasama,” katanya selepas melancarkan Program Perkongsian Makmal Selangor di ibu negara pada Rabu.

Tambahnya, program ini juga menyediakan bantuan kewangan RM5,000 untuk tahun 2024 bagi setiap projek, yang bertujuan untuk membantu syarikat mengurangkan kos penyelidikan.

Justeru, hal ini membolehkan mereka memberi tumpuan lebih kepada usaha pertumbuhan dan pembangunan.

“Kami juga mempunyai jawatankuasa terdiri daripada pakar-pakar daripada industri dan universiti yang akan menilai sama ada sesuatu projek itu boleh diterima atau tidak,” jelasnya.

Sementara itu, Hasan Azhari berkata Invest Selangor turut bekerjasama dengan sembilan institusi pengajian tinggi dan penyelidikan yang terdiri daripada lima universiti awam dan empat universiti swasta.

Turut hadir pada majlis pelancaran, wakil daripada setiap institusi pengajian tinggi dan penyelidikan yang terlibat. – Gambar Invest Selangor

Universiti yang terlibat ialah Universiti Selangor (UNISEL), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Universiti Taylor, Universiti Sunway, Universiti Monash Malaysia dan Universiti Xiamen Malaysia.

Untuk maklumat lanjut tentang penyertaan, boleh layari laman sesawang Invest Selangor di investselangor.my.