Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Datuk Hasan Azhari Idris, berkata penganjuran yang memasuki edisi keempat itu dijangka menjadi pemangkin kepada sektor penerbangan perniagaan dan umum di rantau Asia.
“Kami sasarkan potensi nilai urus niaga sebanyak RM1.3 bilion yang mana tahun lalu kita peroleh sejumlah RM823 juta dan menyaksikan jumlah pengunjung seramai 19,217, melepasi sasaran 12,000 pengunjung,” tambahnya.
Ujarnya, acara kali ini menampilkan teknologi penerbangan perniagaan, penerbangan umum, dan demonstrasi dron yang terkini, serta peluang bina rangkaian bersama pemain industri.
“Kami menyediakan platform untuk syarikat tempatan mempamerkan inovasi mereka di samping menarik minat pelabur antarabangsa.
“Lebih 25,000 pelawat dari 45 negara dijangka menghadiri acara ini, dengan 50 jenis pesawat dipamerkan termasuk model ikonik seperti pesawat Diamond, Falcon 8X, dan Piaggio Avanti,” jelasnya.
Bertemakan ‘The One & Only Business & General Aviation Show in the Region’, terdapat juga forum membincangkan isu penting seperti kelestarian, pengurusan rantaian bekalan, dan penerokaan angkasa lepas sepanjang program tiga hari ini.
“Dengan 128 gerai pameran yang mewakili 88 syarikat dari tujuh buah negara seperti Singapura, China, United Kingdom, Perancis, India, Australia, dan Kemboja, SAS 2024 mencatat kehadiran peserta berprofil tinggi seperti Textron Aviation, Dassault Aviation, Signum Aviation, dan Hindustan Aeronautics Limited,” ujar beliau.
Sementara itu, SAS 2024 juga menyaksikan edisi kedua pameran kerjaya yang menghubungkan pencari kerja dengan lebih daripada 38 syarikat penerbangan dan aeroangkasa seperti National Aerospace & Defence Industries Sdn Bhd, UMW Aerospace, Bombardier, dan Skyways Technics Asia.
“Kerjasama dengan PERKESO turut dijalin untuk merapatkan jurang antara bakat tempatan dengan keperluan industri yang semakin berkembang pesat ini,” jelasnya.
Beberapa pertukaran dokumen juga diadakan antara Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI Selangor) dengan beberapa pemain utama seperti Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Global Turbine Asia (GTA), Qube Nexus, Vencast, Batik Air, serta Aerospace Malaysia Innovation Centre (AMIC) pada hari pertama.
Antara lain adalah Anugerah Wanita dalam Penerbangan anjuran bersama Women in Aviation Asia (WiAA), Business Aviation and General Aviation Malaysia (BAGAM), serta Women@MAG (Malaysia Aviation Group) yang akan berlangsung pada sebelah malam hari sama.
“Ia bertujuan menghargai pencapaian luar biasa wanita dalam industri penerbangan, selain memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita menceburi industri ini.
SAS 2024 anjuran Invest Selangor Berhad dengan sokongan kerajaan negeri Selangor, telah dirasmikan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Khamis.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai SAS 2024, pengunjung boleh mengikuti akaun media sosial rasmi @selangoraviationshow di Facebook, Instagram, LinkedIn, dan X.