Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan cadangan Pakatan Harapan untuk menghentikan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sekiranya menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) umpama membunuh harapan penduduk pantai timur.

Anggota Parlimen Kemaman itu berkata ini kerana penduduk pantai timur telah sekian lama menantikan satu sistem pengangkutan keretapi yang efisien seperti di pantai barat bagi pembangunan dan peningkatan ekonomi setempat.

"Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) kini sudah menjadi seperti pembangkang di mana semua projek mega yang mahu dibuat kerajaan (ketika beliau menjadi Perdana Menteri) dibantah termasuk projek Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur, pusat pentadbiran Putrayaja dan Lebuh Raya Utara Selatan.

"Beliau yang dulunya mempunyai pandangan yang jauh dalam memajukan jaringan sistem pengangkutan dan jalan raya seperti mengadakan projek PLUS, Jambatan Pulau Pinang dan sebagainya kini umpama mahu membunuh harapan penduduk pantai timur (jika projek ECRL dihentikan) .

"Sedangkan cadangan pembinaan ECRL ini merupakan satu 'game changer' yang bakal merubah keseluruhan lanskap ekonomi Pantai Timur yang banyak ketinggalan berbanding Pantai Barat dan Lembah Klang," katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan Karnival Usahawanita 2018 Kemaman di Pantai Kuala Kertih, di sini hari ini.

BACA: Batal kontrak dengan China? Gila, tak siuman! - PM Najib

Semalam, Tun Mahathir yang kini Pengerusi Pakatan Harapan mendakwa, projek bernilai RM55 bilion itu merupakan satu pembaziran kerana tiada keperluan kemudahan itu disediakan kepada rakyat.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata dakwaan projek ECRL akan menyebabkan pembaziran juga dipersoalkan memandangkan banyak projek mega yang dijalankan ketika zaman Tun Mahathir turut menelan kos berbilion ringgit.

"Dahulu Tun ( Mahathir) silap besar cuba memindahkan sebahagian operasi Perwaja Steel (dari Kemaman) ke Gurun, Kedah tetapi ekoran sistem pengangkutan yang tidak efisien ia akhirnya gagal.

"Begitu juga pembinaan Putrajaya yang banyak menerima bantahan dari rakyat kerana kononnya membazir, tapi akhirnya rakyat tetap menerimanya," katanya.

-- BERNAMA