Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) disifatkan tidak mengikut arahan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) dalam isu percanggahan keputusan harga kad prabayar selepas satu bulan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Ibdilillah Ishak berkata, situasi itu sekali gus menjadikan masyarakat dilihat semakin keliru dengan 'pergaduhan' di antara SKMM dan JKDM yang merupakan pengawal selia pelaksanaan GST sejak 1 April lalu.

"Semalam tidak sampai beberapa jam selepas pihak Kastam Diraja Malaysia mengarahkan semua syarikat telekomunikasi dikehendaki mengekalkan harga asal kad prabayar berdasarkan kepada konsep ‘tax inclusive’ (termasuk cukai) berkuatkuasa 1 Mei ini, SKMM menerusi Pengerusinya Datuk Seri Dr. Halim Shafie tampil menolak arahan tersebut.

"Pagi semalam kebanyakan media melaporkan Ketua Pengarah KDRM, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, surat arahan berhubung supaya harga kad prabayar dikekalkan pada harga asal telah dihantar kepada semua syarikat telekomunikasi kelmarin bagi memastikan syarikat-syarikat itu patuh dengan arahan tersebut.

"Bagaimanapun, SKMM yang bertanggungjawab menyelia industri telekomunikasi mengeluarkan satu kenyataan akhbar melalui laman Facebook mereka bahawa isian semula prabayar akan terus dijual dengan GST ditambah kepada amaun isian prabayar (prepaid) tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

BACA: Mustahil untuk kekal harga kad prabayar seperti sebelum GST pada 1 Mei - SKMM

BACA: Harga kupon tambah nilai prabayar kembali ke asal bulan depan - Ahmad Maslan


Jelasnya, persoalan yang timbul sekarang ini adalah siapa yang lebih berkuasa sebenarnya di antara SKMM atau JKDM.

"Kenyataan yang dibuat kedua-dua pihak amat bercanggah sekali. Ianya menyebabkan ramai yang masih keliru. Mengapa SKMM tidak boleh mengikut arahan Kastam yang merupakan pihak pengawal selia pelaksanaan GST ini?

"SKMM harus sedar bahawa mereka merupakan sebuah badan yang menyelia industri telekomunikasi. Menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan setiap polisi ataupun dasar kerajaan dipatuhi oleh syarikat-syarikat gergasi telekomunikasi.

"Janganlah bertindak seolah-olah menjadi agen kepentingan 'telco' sahaja.

Adakah SKMM mahu mendengar cakap 'bos-bos' syarikat gergasi telekomunikasi ataupun mahu dengar keluhan pengguna yang terbanyak?" ujarnya.

BACA: Isian semula prabayar ikut akta GST - SKMM

BACA: Kekal caj GST: Syarikat telco disaran buat kaji selidik pilihan pengguna


Katanya lagi, tanggungjawab SKMM adalah untuk menjaga kepentingan pengguna dari ditindas oleh syarikat telco dan bukannya menjaga kepentingan syarikat-syarikat yang mahu mengaut keuntungan yang berlebihan.

"Yang mengaut untung berlebihan adalah syarikat-syarikat gergasi ini, yang terbeban adalah pengguna.

"Di saat rakyat masih menyesuaikan diri terhadap sistem percukaian GST dan berasa sedikit terhimpit dengan kos sara hidup yang makin tinggi, pihak terbabit haruslah mencari jalan dengan segera untuk menyelesaikan hal ini dengan mengekalkan prabayar pada harga asal," tegasnya.