Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai berkata ahli FMM juga berharap kerajaan dapat memperluas insentif cukai bagi merangsang pertumbuhan, terutama sektor utama seperti teknologi, pembuatan dan tenaga hijau agar seiring dengan trend global dalam memacu inovasi dan pempelbagaian ekonomi.
"Kami sarankan kerajaan memperkenalkan pengurangan cukai berganda bagi sebarang pelaburan dalam inisiatif hijau dan projek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)
"Langkah mewujudkan dana ESG bernilai RM2 bilion untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam bidang ini juga adalah sesuatu yang bermanfaat," katanya pada sesi Tinjauan Keadaan Perniagaan FMM bagi separuh pertama 2024 di sini, hari ini.
Menyentuh aspek pembangunan bakat, Soh menekankan kepentingan dalam mengurangkan kebergantungan kepada kepakaran asing dan bertindak meningkatkan daya saing dalam industri berteknologi tinggi menerusi program peningkatan kemahiran dan latihan semula.
Selain itu, beliau turut berkongsi pandangan segelintir ahli FMM yang menyokong langkah memperkenal semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada kadar lebih rendah yang dapat memperluas asas cukai Malaysia tanpa terlalu membebankan pengguna.
"Tindakan ini dapat membantu dari segi aliran pendapatan lebih stabil untuk kerajaan selain meminimumkan tekanan inflasi," katanya.
Beliau juga berharap kerajaan akan mempertimbang pelaksanaan Akta Perolehan Kerajaan dalam masa terdekat memandangkan 88 peratus ahli FMM pada masa ini tidak terbabit dalam pembekalan untuk kerajaan pada masa ini.
"Bagi kami, kerajaan perlu memperkenalkan akta ini kerana sektor pemerolehan kerajaan adalah antara yang terbesar di negara ini," katanya.
Antara saranan penambahbaikan sistem berkenaan adalah memperkenalkan dasar perolehan yang sepadu dengan langkah penguatkuasaan dan pendekatan telus; menyokong pangkalan data pengeluar tempatan dan cadangan menggunakan platform e-perolehan untuk meningkatkan ketelusan, menyeragamkan proses serta menjadikan kontrak kerajaan lebih mudah diakses oleh rangkaian perniagaan yang meluas, kata Soh.
-- BERNAMA