KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd kekal teguh untuk mencapai matlamat bagi memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada setiap dapur isi rumah rakyat Malaysia menggunakan rangkaian luas produk makanannya pada 2030.

Saji, jenama produk makanan tempatan keluaran FGV, dinobatkan sebagai 'Jenama Terunggul dengan Pertambahan Pembeli Terbanyak pada 2022' oleh Kantar, syarikat data pengguna, matlamat dan perundingan terkemuka di dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Delima Oil Products Sdn Bhd, Shammim Azad Kamruzaman berkata pengiktirafan oleh Kantar baru-baru ini adalah bukti terhadap pencapaian syarikat dalam mencapai sasaran.

Beliau berkata anugerah ini adalah pengiktirafan terhadap Saji sebagai jenama yang mencatatkan peningkatan bilangan pembeli terbanyak dari segi jumlah barang pengguna cepat laris dan meningkat sebanyak 5.4 mata peratusan penembusan pada 2022.

"Kejayaan ini berasaskan momentum Saji pada tahun lepas apabila dinobatkan sebagai 'Jenama Terpantas Berkembang Dekad Ini', dengan pertumbuhan sebanyak 177 peratus dalam indeks Titik Capaian Pengguna (CRP), melonjak daripada 8.9 juta pada 2012 kepada 24.7 juta pada 2021," katanya kepada pemberita selepas penyampaian Anugerah Kantar-FGV di sini, pada Rabu.

Beliau berkata pencapaian penting ini adalah bukti terhadap pertumbuhan berterusan dan daya tarikan Saji yang yang semakin meningkat, menarik pelanggan baharu serta mengembangkan kehadiran pasarannya.

Delima Oil ialah anak syarikat FGV yang bertanggungjawab menguruskan rangkaian luas jenama makanan.

Ketua Pegawai Eksekutif FGV Group, Datuk Nazrul Mansor berkata sebagai syarikat makanan dan perniagaan agri terulung Malaysia, FGV komited untuk memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat terhadap produk berkualiti dan berkhasiat pada harga berpatutan dalam pasaran melalui pelbagai jenama barangan penggunanya ya seperti Saji, Adela, Seri Pelangi, Gula Prai, Ladang'57 dan Bright Cow.

"FGV selaku antara pengeluar produk makanan utama di Malaysia terus melaksanakan peranan penting dalam menyokong agenda sekuriti makanan negara dengan menawarkan produk berkualiti dan berkhasiat tinggi pada harga berpatutan kepada semua rakyat Malaysia," katanya.

Nazrul berkata penerimaan anugerah berprestij ini dan menyaksikan pertumbuhan berterusan Saji membuktikan komitmen FGV Group untuk menjadi syarikat makanan Malaysia terkemuka dengan visi memperkenalkan produk makanan dan tani yang lestari ke serata dunia.

Sementara itu, Shammim berkata FGV akan melancarkan kempen 'Saji Terima Kasih Malaysia' sebagai penghargaan kepada pembeli yang setia menyokong pihaknya selama ini.

Kempen 'Saji Terima Kasih Malaysia' akan dilancarkan pada Ogos 2023 bersempena musim Bulan Kebangsaan yang akan membawakan pelbagai tawaran menarik seperti promosi istimewa, diskaun produk, hadiah istimewa dan tawaran eksklusif selain melibatkan aktiviti media sosial bertema.

-- BERNAMA