Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffudin mengeluarkan perintah reman tersebut selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kemaman, Terengganu.
Sumber SPRM berkata, lelaki itu ditahan kira-kira jam 2.45 petang, Isnin ketika dia hadir di pejabat SPRM Kemaman, Terengganu untuk memberi keterangan.
“Siasatan awal mendapati suspek yang berusia 50 tahun itu dipercayai melakukan kesalahan tersebut pada April lalu dan seramai 50 penerima yang tersenarai menerima wang zakat bernilai RM1,000 setiap seorang.
"Suspek dipercayai menerima dana zakat tersebut daripada sebuah syarikat minyak di negeri ini (Terengganu) di mana suspek merupakan salah seorang pekerja di situ,” kata sumber itu dalam kenyataan pada Selasa.
Sumber turut mendedahkan. suspek ditahan bersama isteri yang turut tersenarai antara penerima wang zakat tersebut, bagaimanapun wanita itu dilepaskan dengan jaminan SPRM.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.