KUALA LUMPUR: Syarikat perunding kewangan yang mendalangi sindiket penipuan pinjaman peribadi, menggunakan kaedah memanipulasi turnaround time (TAT) atau masa pusing balik semasa proses kelulusan permohonan pinjaman oleh bank.


Ringkasan AI
  • Sindiket penipuan pinjaman peribadi memanipulasi proses kelulusan pinjaman bank (TAT) dengan surat pembatalan palsu untuk mendapatkan kelulusan serentak daripada pelbagai bank.
  • Sindiket menggunakan selebriti, media sosial, dan program CSR untuk mempromosikan tawaran mereka, menyasarkan penjawat awam dan guru.
  • SPRM menumpaskan sindiket ini dalam Ops Sky, menahan 27 individu, membekukan 98 akaun bank bernilai RM17.4 juta, dan merampas 4,000 dokumen.


Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata kelulusan pinjaman peribadi daripada bank biasanya mengambil masa tiga hingga lima hari untuk diluluskan.

"Dalam tempoh masa itu, pihak sindiket akan mengeluarkan surat pembatalan palsu (kononnya) daripada bank yang telah luluskan permohonan pinjaman (pertama) kepada bank yang sedang dalam proses meluluskan permohonan pinjaman (kedua) bagi memastikan semua (permohonan) pinjaman daripada pelbagai bank mendapat kelulusan secara serentak.

"Sindiket itu akan membimbing peminjam untuk bekerjasama memastikan proses permohonan pinjaman peribadi berjalan lancar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Azam, tiada pemalsuan slip gaji (pemohon) dibuat memandangkan semua komitmen hutang peminjam telah diselesaikan terlebih dahulu oleh sindiket terbabit bagi memastikan peminjam boleh membuat pinjaman dengan nilai maksimum ke beberapa bank secara serentak.

"Setakat ini kita telah merampas kira-kira 4,000 dokumen manakala 98 akaun bank telah dibekukan dengan nilai berjumlah RM17,403,644 juta," katanya.

Azam berkata syarikat itu menggunakan beberapa ikon dalam kalangan artis dan selebriti yang dilantik sebagai duta rasmi untuk mempromosikan syarikat.

"Mereka juga mengiklankan tawaran syarikat melalui sosial media menggunakan platfom Facebook, TikTok dan Instagram selain kaedah soal selidik dan membuat jelajah di sekolah, hospital dan klinik untuk memancing individu dalam kalangan guru sekolah dan penjawat awam lain.

"Syarikat itu juga aktif mempromosikan tawaran mereka melalui pertubuhan seperti yayasan untuk membuat program CSR (tanggungjawab sosial dan korporat) dan kebajikan kepada agensi kerajaan dan penjawat awam," katanya.

SPRM baru-baru ini menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan.

Ia hasil penahanan 12 individu dalam serbuan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) di 24 lokasi menerusi Ops Sky, meliputi rumah kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang pada Isnin lepas.

Setakat ini, 27 individu ditahan termasuk 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat perunding kewangan terbabit dan satu orang awam dan kesemua mereka telah dilepaskan daripada reman dengan jaminan SPRM.

-- BERNAMA