CYBERJAYA: Kerajaan berhasrat untuk menggandakan jumlah syarikat bumiputera yang berdaya tahan untuk disenaraikan di Bursa Malaysia pada masa hadapan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ia dilakukan melalui penjajaran semula tiga agensi bermandat bumiputera di bawah kawal selia Kementerian Ekonomi iaitu Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Yayasan Peneraju (YP) dan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas).

Beliau berkata, ia merupakan aspirasi tambahan yang diharap dapat dicapai dalam usaha menstruktur semula ekosistem ekonomi syarikat bumiputera.

"Kita banyak syarikat kecil, tak boleh pergi ke depan jadi walaupun ada minat yang tinggi di pasaran saham tapi dari segi calon syarikat yang boleh disenaraikan, ia tak mencukupi.

"Sebenarnya banyak masalah struktur, mereka perlu satu ekosistem untuk bumiputera jadi dengan funnel ini, kita bantu dari awal lagi, memastikan bakat yang ada potensi mengusahakan perniagaan yang baik mereka mencapah pemikiran supaya tidak kekal makan gaji semata-mata.

"Kita mulakan dari awal, kemudian syarikat ini sudah ada ekosistem dalam Teraju, sebelum pergi ke penyenaraian saham, ada satu langkah lagi ke Ekuinas.

"Jadi dengan funnel ini akan memberi fokus kepada syarikat yang berdaya tahan. Harapan kita selain daripada penstrukturan ekonomi, paling kurang kita boleh gandakan calon syarikat bumiputera yang berdaya tahan untuk disenaraikan pada masa akan datang," katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis penjajaran semula tiga agensi tersebut, pada Isnin.

Mac lalu, Pengerusi Bursa Malaysia Bhd, Tan Sri Abdul Wahid Omar dipetik sebagai berkata, hanya satu syarikat bumiputera tersenarai dalam tempoh tiga tahun lepas, daripada 97 syarikat secara keseluruhan.

Rafizi turut memaklumkan kerajaan tidak skeptikal dalam aspek syarikat dan tidak keberatan mempertimbangkan pelbagai jenis perniagaan.

Turut hadir membuat pembentangan ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) YP, Ibrahim Sani; CEO Teraju, Junady Nawawi dan CEO Ekuinas, Datuk Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir.

Sementara itu, Ibrahim dalam pembentangannya berkata, pihaknya akan memfokuskan kepada pembangunan bakat untuk meningkatkan kelas pencipta nilai bumiputera dan berperanan sebagai bank bakat.

Katanya, ini untuk mengenal pasti, membangun, memupuk, mengurus dan menyalur bakat bumiputera menerusi tiga kategori iaitu Pemimpin Profesional, Pemimpin Perniagaan dan Pemimpin Komuniti.

"Menjelang 2030, 5,000 pemimpin profesional akan dijanakan; 4,000 akan dijanakan dalam Pemimpin Perniagaan,1,000 orang akan dilahirkan dalam pemimpin komuniti.

"Selain itui kita umumkan satu lagi kelas iaitu investor class of bumiputera. YP akan mewujudkan program pemacu untuk bumiputera berbakat menjadi rakan kongsi umum, memulakan firma untuk menubuhkan firma modal teroka (VC) mereka sendiri; mereka bukan pekerja VC tetapi mereka adalah pemilik VC,"ujarnya.