PUTRAJAYA: Perkhidmatan permohonan ansuran untuk bayaran baki cukai atau tunggakan cukai secara dalam talian melalui e-Ansuran telah boleh diakses menerusi Portal MyTax bermula 5 Mac lepas.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan inisiatif itu diperkenalkan bagi memudahkan pembayar cukai membuat permohonan ansuran baki cukai atau tunggakan cukai dan mendapatkan kelulusan secara automatik tanpa memerlukan sebarang dokumen sokongan.

Menurut LHDN, antara kriteria pembayar cukai yang layak untuk memohon e-Ansuran ialah jumlah amaun permohonan melebihi RM300 dan ke atas dan jumlah bilangan ansuran dua hingga enam kali sahaja.

"Kriteria lain ialah melibatkan ansuran cukai pendapatan sahaja dan tidak melibatkan ansuran yang sedang berkuat kuasa," menurut LHDN dalam kenyataan hari ini.

Pembayar cukai boleh mengakses perkhidmatan e-Ansuran dengan log masuk ke portal MyTax menerusi pautan https://mytax.hasil.gov.my/ dan memilih peranan yang berkaitan (Individu / Pengarah / Wakil Pengarah).

Sebagai maklumat tambahan, sebarang pembatalan permohonan e-Ansuran hanya boleh dilakukan di pejabat LHDN.

-- BERNAMA