Pengeluar komponen casis kenderaan, China Automobile Parts Holdings Ltd, kukuh semasa muncul julung kalinya di Bursa Malaysia Securities hari ini.

Penyenaraian sulungnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities pada 80 sen, dengan premium 12 sen melepasi harga tawaran pada 68 sen, dengan 7.77 juta saham diniagakan pada 9.00 pagi.

Syarikat yang berpangkalan di China itu merupakan yang pertama disenaraikan di bursa tempatan tahun ini.

Mengenai masa depan, syarikat akan menumpukan kepada usaha memperkukuhkan kehadirannya di China dan memperluaskan pengedaran ke wilayah dalaman Mongolia, Ningxia, Gansu dan Xinjiang, berikutan galakan kukuh daripada kerajaan China untuk membangunkan industri automotif, kata Pengarah Urusan Terry Li.

"Pasaran di China masih besar dan pengeluaran di China mempunyai kelebihan," kata Li pada sidang media sempena penyenaraian sulung syarikat di Bursa Securities.

Hari ini, komponen keluaran syarikat diedarkan di 17 wilayah di China dan dieksport ke Asia Tenggara, Timur Tengah dan Afrika Selatan.

Produk syarikat juga dijual di pasaran Malaysia.

Mengenai sama ada China Automobile merancang untuk mendirikan kilang di Malaysia, Li berkata ia bergantung kepada permintaan di Asia Tenggara.

Li berkata syarikat merancang untuk mendirikan pejabat wakil di Malaysia dalam masa enam bulan akan datang, terutamanya bagi urusan program berkaitan pelabur serta interaksi dengan media, pengurus dana dan penganalisis.

Sementara itu, Pengerusi China Automobile Datuk Seri Dr Jalaluddin Abdul Rahim berkata syarikat telah berkembang kurang daripada 10 tahun.

"Ia memulakan operasi pada 2004, mengeluarkan komponen casis kenderaan bagi pasaran domestik di China.

"Rakyat Malaysia yang melabur menunjukkan keyakinan setelah pengundian baru-baru ini bagi bahagian awam sebanyak 30 juta saham mencatatkan kadar terlebih langganan sebanyak 2.36 kali," katanya.

Menurut pengumuman terkini China Automobile berhubung keputusan kewangan belum audit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2012, syarikat mencatatkan perolehan sebanyak RM344.4 juta dengan keuntungan selepas cukai sebanyak RM64.2 juta.

Bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember, 2009, 2010 dan 2011, syarikat mencatatkan keuntungan selepas cukai masing-masing sebanyak RM43.7 juta, RM40.7 juta dan RM70 juta.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim Siang Chai berkata China Automobile merupakan pengeluar komponen casis kenderaan China yang pertama disenaraikan di Bursa Malaysia.

"Ini menunjukkan keyakinan penerbit asing dalam peluang pertumbuhan yang ditawarkan pasaran Malaysia," katanya pada majlis penyenaraian.

Saham China Automobile di Bursa Securities mencecah paras tertinggi RM1.28, atau 88 peratus mengatasi harga tawaran sebanyak 68 sen, pada sesi pagi.

Pada tengah hari, kaunter melonjak 17 sen kepada 85 sen dengan 152.6 juta saham diniagakan.