Ringkasan AI
- Pengantarabangsaan Produk Tempatan: KPDN bekerjasama dengan pasar raya seperti Lotuss, Lulu, dan AEON Co (M) Bhd untuk memperkenalkan lebih banyak produk tempatan di pasar raya di luar negara, termasuk di negara seperti Emiriah Arab Bersatu, Thailand, Jepun, dan China.
- Program Peningkatan Kemahiran: Selain pengantarabangsaan, KPDN juga menyediakan program latihan pembangunan perniagaan dan penandaan logo barangan Malaysia. Ini bertujuan untuk memperkukuhkan penjenamaan produk Malaysia dan memastikan pertumbuhan khususnya bagi Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana (PMKS).
- Galakkan Penggunaan Platform Dalam Talian: KPDN menggalakkan pengusaha tempatan untuk menggunakan platform dalam talian bagi mempromosi, memasarkan, dan meningkatkan nilai jualan produk-produk mereka.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata bagi tujuan pengantarabangsaan barangan Malaysia, empat negara menjadi fokus pada tahun ini iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE), Thailand, Jepun dan China.
Jelas beliau, kementerian juga akan mengenal pasti lebih banyak pasar raya yang akan terlibat di empat negara tersebut dalam melonjakkan nilai jualan barangan tempatan.
“Kita mengharapkan dengan program ini yang juga bekerjasama dengan pasar raya yang ada di negara-negara tersebut, kita dapat membawa lebih banyak produk tempatan kita dipasarkan di rak-rak pasar raya di luar negara.
“Alhamdulillah, Lotus's Stores Sdn Bhd juga merupakan salah satu pasar raya yang membantu KPDN dalam menggerakkan program pengantarabangsaan produk-produk tempatan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2024 Peringkat Lotus’s Setia Alam di sini pada Khamis.
Jelas Armizan, selain Lotus’s, antara pasar raya lain yang terlibat dalam program pengantarabangsaan produk tempatan adalah Lulu dan AEON Co (M) Bhd.
Beliau menambah laporan penuh melibatkan senarai produk dan syarikat yang terlibat dalam pengantarabangsaan produk tempatan akan dimaklumkan pada penghujung tahun ini.
“Kita akan mengenal pasti lebih banyak pasar raya di negara-negara berkaitan untuk terlibat dalam menggerakkan usaha pengantarabangsaan,” tambah beliau.
Dalam masa, Armizan berkata selain menggerakkan kempen KBBM, KPDN juga menyediakan program seperti latihan pembangunan perniagaan, program padanan perniagaan dan penandaan logo barangan Malaysia.
Program-program tersebut katanya memfokuskan bimbingan kepada peningkatan kemahiran dan pertumbuhan khususnya kepada Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana (PMKS).
Selain itu, menurutnya KPDN menggalakkan pengusaha tempatan untuk menggunakan platform dalam talian bagi mempromosi, memasarkan dan sekali gus melonjakkan nilai jualan produk-produk mereka.