Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengakhiri tahun ini dengan mencatatkan peningkatan 12.90 peratus dalam tempoh 52 minggu, menjadikan Bursa Malaysia sebagai bursa berprestasi kedua terbaik di Asia Tenggara, selepas Singapura.
Bursa tempatan itu juga merekodkan terbitan Tawaran Awam Permulaan (IPO) tertinggi yang pernah dicapainya dan mencatatkan permodalan pasaran melebihi paras RM2 trilion buat kali pertama pada Mei.
Bagi saham individu, 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd melonjak 14 peratus semasa dagangan sulungnya, menjadikannya IPO terbesar dalam tempoh tujuh tahun sejak penyenaraian Lotte Chemical Titan pada 2017.
Ini merupakan IPO ke-34 Bursa Malaysia pada tahun ini, mengukuhkan kedudukan negara sebagai pasaran IPO paling aktif di Asia Tenggara pada 2024.
Menurut data daripada Bloomberg, saham yang paling banyak didagangkan di Bursa Malaysia sejak 12 bulan lepas termasuklah My EG Services, Velesto Energy, Hong Seng Consolidated, Top Glove Corporation dan TWL Holdings.
Setakat hari ini, sebanyak 53.04 juta saham My EG telah diurusniagakan, diikuti Velesto Energy (43.74 juta), Hong Seng Consolidated (37.62 juta), Top Glove Corporation (35.98 juta) dan TWL Holdings (35.46 juta).
Bursa Malaysia meraih pencapaian penting pada 2024, dengan 55 IPO disenaraikan di bursa itu - bilangan penyenaraian tertinggi dalam tempoh 19 tahun lepas, melepasi sasaran awal 42 IPO.
Kesemua 55 IPO ini secara kolektif mengumpul hasil sebanyak RM7.42 bilion, yakni peningkatan sebanyak 107 peratus daripada tahun sebelumnya, dan menyumbang jumlah permodalan pasaran sebanyak RM31.37 bilion kepada Bursa Malaysia berdasarkan kepada harga IPO mereka.
Ini merupakan pertumbuhan sebanyak 130 peratus berbanding 2023.
Prestasi luar biasa ini merupakan peningkatan sebanyak 72 peratus berbanding 32 IPO yang dicatatkan pada 2023.
FBM KLCI mencecah paras terendahnya tahun ini pada 1,453.10 pada 2 Jan 2024, hari dagangan pertama tahun itu dan mencapai paras kemuncaknya pada 1,678.80 mata pada 30 Ogos 2024, tahap yang tidak dilihat sejak Disember 2020.
Kenaikan enam hari berturut-turut bursa dari 23 Dis juga menyaksikan belian bersih dana global ekuiti Malaysia bernilai US$600,000 pada 30 Dis, tertinggi dalam tempoh sebulan, sebelum indeks utama mengakhiri tahun ini meningkat sebanyak 0.28 peratus atau 4.65 mata kepada 1,642.33.
Melangkah ke 2025, ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata syarikat itu mengunjurkan FBM KLCI bakal mencecah paras 1,800 mata.
RHB Investment Bank Bhd mengunjurkan petunjuk utama pasaran mencecah 1,820 mata pada akhir 2025, disokong oleh prospek makroekonomi domestik yang kukuh dan pendapatan korporat yang bertambah baik.
Affin Bank Bhd pula menjangkakan FBM KLCI mencecah paras 1,850 mata tahun depan berbanding anggaran 1,650 mata bagi 2024, dipacu oleh pertumbuhan berterusan pendapatan korporat manakala MIDF Research mengunjurkan indeks utama itu melepasi paras 1,800 mata kepada 2025.
Bagaimanapun, ketidaktentuan perdagangan yang semakin meningkat dan potensi peralihan dasar AS di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump boleh menyebabkan pasaran ekuiti global menjadi tidak menentu dalam tempoh terdekat ini.
Mengenai terbitan IPO, Bursa Malaysia dijangka menyenaraikan 50 IPO tahun depan, kembali semula ke tahap penyertaan awam yang tinggi seperti dua dekad lepas.
-- BERNAMA