KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini, mengambil petunjuk daripada trend rendah semalaman Wall Street manakala hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) mencecah paras tertinggi baharu dalam tempoh 16 tahun di tengah-tengah ketegangan yang berterusan di Timur Tengah, kata peniaga.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.61 mata kepada 1,442.93 daripada penutupan Rabu pada 1,446.54.

Pada sesi pembukaan, indeks utama turun 3.28 mata untuk mencatatkan paras 1,443.26.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 199 berbalas 85 sementara 221 kaunter tidak berubah, 1,846 tidak diniagakan dan 10 digantung.

Jumlah dagangan 133.94 juta unit bernilai RM59.28 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, walaupun FBM KLCI didagangkan lebih tinggi semalam, pasaran bermodal kecil agak rendah berikutan aktiviti pengambilan untung yang ketara manakala Wall Street ditutup lemah disebabkan ketegangan Timur Tengah yang berterusan berserta lonjakan dalam hasil Perbendaharaan AS.

Dari segi komoditi pula, firma pembrokeran itu menambah minyak mentah Brent diniagakan berhampiran US$93 setong sebelum berakhir sekitar USS$91 setong sementara minyak sawit mentah (MSM) berada dalam lingkungan RM3,800 satu tan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank dan Tenaga Nasional masing-masing turun dua sen kepada RM4.15 dan RM10, Petronas Chemicals merosot 12 sen menjadi RM7.53, CIMB lemah satu sen kepada RM4.15 sementara Maybank menambah tiga sen kepada RM8.98.

Bagi saham aktif, waran Parlo yang baharu disenaraikan peroleh tiga sen kepada 4.5 sen, waran Tanco dan waran Mestron masing-masing menambah setengah sen menjadi 26 sen dan 20.5 sen, Sealink naik 1.5 sen kepada 24.5 sen dan Tanco susut setengah sen menjadi 57 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 27.47 mata kepada 10,646.28, Indeks FBMT 100 susut 30.54 mata untuk mencatatkan paras 10,316.02 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 30.54 mata kepada 10,316.02.

Indeks FBM 70 pula menguncup 62.03 mata kepada 14,017.12, manakala Indeks FBM ACE kerugian 6.69 mata kepada 5,065.14.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.03 mata kepada 175.51, Indeks Tenaga susut 0.13 mata menjadi 878.56, Indeks Perladangan lemah 48.70 mata kepada 6,879.68 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan rendah 17.27 mata kepada 16,148.57.

-- BERNAMA