KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) meraikan ulang tahun ke-50 dengan sambutan bersejarah yang dihadiri lebih 1,000 tetamu dari pelbagai lapisan masyarakat, melambangkan semangat keterangkuman yang menjadi asas perkhidmatannya selama lima dekad.

Menurut Pengerusi BSN, Datuk Seri Awang Adek Hussin, pencapaian ini melambangkan kejayaan dan komitmen berterusan bank dalam menyediakan perkhidmatan kewangan inklusif kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya golongan terpinggir.

“BSN adalah satu-satunya institusi kewangan dengan liputan perkhidmatan mencapai 97% kawasan di Malaysia, termasuk pedalaman. Tiada bank lain yang mampu memainkan peranan seperti ini. Dengan sokongan Kerajaan Madani, BSN bertekad untuk mencapai liputan 100% agar tiada rakyat yang tercicir daripada menikmati akses kewangan,” ujar beliau.

BSN terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju keterangkuman kewangan dengan lebih 66% atau 290,000 pelanggan pembiayaannya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan jumlah pembiayaan keseluruhan setakat ini telah mencecah RM20.02 bilion.

Sebagai ejen pelaksana utama bantuan kerajaan, BSN turut mengagihkan program seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA kepada berjuta-juta rakyat Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bergambar kenangan bersama Pengerusi BSN, Datuk Seri Awang Adek Hussin, Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil dan pengurusan tertinggi BSN pada malam penuh makna itu. - Gambar BSN

Usaha seperti pembiayaan mikro dan Program Masyarakat Tanpa Tunai juga telah membawa impak besar kepada golongan penjaja dan usahawan kecil. 

Selain itu, BSN turut berbangga dengan pelbagai pengiktirafan yang diterima, termasuk anugerah “Excellence Award for Community Banking in Malaysia” dan “Best Islamic Retail Banking Window in Malaysia 2024”.

“Anugerah ini membuktikan bahawa BSN bukan sekadar bank milik kerajaan, tetapi juga institusi kewangan yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik. Ia menegaskan peranan BSN dalam perbankan masyarakat dan pembangunan kewangan negara,” tambahnya.

Sambutan ulang tahun ini menjadi lebih bermakna dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang pernah berkhidmat sebagai pegawai dan Pengerusi BSN. Kehadiran beliau membawa sentuhan nostalgia dan penghargaan terhadap perjalanan BSN yang penuh cemerlang.

Sempena ulang tahun emas ini, BSN menyeru seluruh warganya untuk terus memperjuangkan nilai keterangkuman dan inovasi bagi memastikan bank ini kekal relevan sebagai rakan kewangan pilihan rakyat.

Sambutan ulang tahun ke-50 BSN bukan sahaja meraikan kejayaan silam, tetapi juga menegaskan komitmen bank dalam memperkukuhkan peranannya sebagai institusi kewangan inklusif yang relevan untuk masa depan negara

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melakukan lawatan ke Galeri Ulang Tahun BSN ke-50 dan Pavilion Mikro Madani. - Gambar BSN