KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) kini menyediakan fleksibiliti kawal selia untuk bank pembangunan pelbagai hala untuk menerbitkan sukuk dalam denominasi ringgit dan menyediakan pembiayaan ringgit kepada entiti pemastautin di Malaysia tanpa kelulusan bank pusat terlebih dahulu.

Timbalan Gabenor BNM, Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata fleksibiliti dasar pertukaran asing, sebagai satu pakej, dijangka mengurangkan kebimbangan ketidakpadanan pertukaran asing bagi pemberi pinjaman dan peminjam.

"Satu lagi keutamaan bersama ialah tumpuan kami kepada kewangan hijau dan agenda kemampanan.

"Kami juga ingin mengalu-alukan penglibatan yang lebih besar daripada bank pembangunan pelbagai hala seperti Bank Pembangunan Islam (IsDB) untuk mengambil bahagian dalam menyediakan pembiayaan dan kepakaran kritikal dalam bidang pembangunan mampan di Malaysia khususnya dalam kewangan hijau dan kemampanan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama pada perbincangan meja bulat antara IsDB dan Jawatankuasa Pasaran Kewangan Islam (IFMC) Malaysia, hari ini.

Mengenal pasti keutamaan bersama untuk IsDB dan Malaysia akan membolehkan bank menyalurkan sumber dan memfokuskan usaha dengan lebih berkesan, kata Adnan.

"Ia memainkan peranan penting dalam memudahkan pemahaman lebih mendalam mengenai keutamaan pelaburan dan minat risiko, membuka jalan kepada hubungan pelaburan yang saling menguntungkan," katanya.

-- BERNAMA