Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan kerajaan akan terus melaksanakan reformasi struktur sebagai asas untuk membina ekonomi yang lebih kukuh.
"Kerajaan juga fokus untuk memberi kembali kepada rakyat dengan melindungi mereka daripada isu-isu semasa, antaranya melalui peningkatan pelaburan dalam sektor-sektor penting seperti pendidikan dan kesihatan.
"Kami juga akan mempertimbang pendekatan baharu dalam reformasi subsidi bagi memastikan golongan yang memerlukan tetap mendapat bantuan yang sewajarnya.
"Tapi apa yang penting, pelonjakan ekonomi ke arah struktur baru kerana lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi yang masuk, lebih banyak peluang pekerjaan yang dapat dijana untuk rakyat, seterusnya meningkatkan pulangan pekerjaan," ujar beliau dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI pada Khamis.
Turut sama dalam temu bual bertajuk “Strategi fiskal & monetari: Kunci pengukuhan ekonomi Malaysia” ialah Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour dan diteraju oleh Editor Kanan Astro AWANI, Najib Aroff.
Menyentuh berkenaan pelaburan asing, beliau menjelaskan bahawa Amerika Syarikat dan Eropah masih menjadi pelabur terbesar di Malaysia berbanding China, dan negara berharap dapat terus menarik pelaburan dari pelbagai negara untuk memacu pertumbuhan ekonomi.
“Malaysia adalah teman kepada semua, musuh kepada tiada siapa,” tegasnya.
Dengan pendekatan ini, kerajaan berharap dapat merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan dan memberikan peluang yang lebih baik untuk rakyat Malaysia dalam era globalisasi ini.
Belanjawan 2025 bakal dibentangkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada18 Oktober depan di Dewan Rakyat.