KUALA LUMPUR: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat kepada AS$116.8 bilion setakat 30 Ogos 2024 daripada AS$114.7 bilion (AS$1=RM4.33) yang dicatatkan pada 31 Julai 2024.

BNM dalam kenyataan hari ini berkata kedudukan rizab itu mencukupi untuk membiayai 5.4 bulan import barangan dan perkhidmatan dan adalah 1.0 kali ganda jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

Komponen utama rizab itu ialah rizab mata wang asing berjumlah AS$104.5 bilion diikuti rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) (AS$1.3 bilion), hak pengeluaran khas (SDR) (AS$5.7 bilion), emas (AS$2.9 bilion) dan aset rizab lain (AS$2.4 bilion).

Jumlah aset berjumlah RM641.56 bilion, merangkumi emas dan rizab pertukaran asing termasuk SDR (RM550.45 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM12.27 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM992.92 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM25.28 bilion), tanah dan bangunan (RM4.13 bilion) dan aset-aset lain (RM48.28 bilion).

BNM berkata modal dan liabiliti berjumlah (RM100.0 juta), modal berbayar (RM100.0 juta), rizab (RM207.90 bilion), mata wang dalam edaran (RM165.28 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM146.83 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM6.09 bilion), deposit lain (RM66.58 bilion), kertas Bank Negara (RM15.69 bilion), peruntukan SDR (RM29.96 bilion), dan liabiliti lain (RM3.14 bilion).

-- BERNAMA